MELAKA 25 Feb. – Kerajaan negeri memberi tempoh sehingga hujung bulan ini kepada semua pengendali syarikat bas di terminal bas ekspres Melaka Sentral menyelesaikan masalah pekerjanya yang mendakwa akan diberhentikan kerja berikutan pelaksanaan Sistem Tiket Berpusat (CTS) mulai awal bulan depan.
Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan dan Kemudahan Awam negeri, Datuk Mohd. Sofi Abdul Wahab berkata, setiap pengendali syarikat bas perlu menyenaraikan nama pekerjanya yang masih diperlukan untuk berkhidmat bagi memudahkan pihaknya membuat sebarang keputusan.
Katanya, selepas senarai pekerja itu diserahkan, kerajaan negeri akan melihat baki pekerja yang tinggal dan jika mereka tiada tempat untuk bekerja selepas ini, pihaknya akan berusaha membantu mendapatkan pekerjaan yang sesuai untuk kakitangan itu.
“Atas sebab itu kerajaan ne-geri meminta semua pengendali syarikat bas menyiapkan senarai nama pekerja mereka sama ada yang akan terus berkhidmat atau mungkin tidak lagi diperlukan.
“Jika daripada kesemua pekerja itu masih ada yang khidmatnya tidak lagi diperlukan, kita akan cari jalan membantu mereka mendapatkan pekerjaan, atau jika terpaksa diberhentikan, kita akan pastikan mereka mendapat pampasan yang setimpal,” katanya.
Beliau ditemui dalam sidang akhbar selepas mengadakan pertemuan dengan lebih 40 pekerja kaunter tiket, pengendali syarikat bas dan pengurusan MSSB di bilik mesyuarat MSSB di sini.
Yang turut hadir, Pengerusi Lembaga Pengarah MSSB, Nazri Abu Kasim dan wakil Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) negeri, Mohd. Anas Mohd. Nor.
Utusan Malaysia baru-baru ini melaporkan, sebanyak 68 pekerja kaunter tiket bas ekspres di Melaka Sentral bakal kehilangan pekerjaan berikutan pelaksanaan CTS dan Sistem Operasi Terminal (TOS) menggantikan sistem jualan tiket secara manual di terminal itu bermula bulan depan.
Kebanyakan daripada mereka yang sudah lama berkhidmat di terminal tersebut berasa teraniaya dengan tindakan drastik diambil pihak pengurusan Melaka Sentral.
Sementara itu, Mohd. Sofi berkata, kerajaan negeri Pakatan Harapan (PH) tidak akan bertindak zalim termasuk akan berusaha memastikan nasib semua pekerja di kaunter tiket itu terbela walaupun melaksanakan sistem baharu.
“Apa guna kita jadi kerajaan jika ada yang hilang kerja atau tidak cukup makan?. Itu bukan prinsip kita sebaliknya kita akan bantu mereka walaupun CTS dijalankan, agar mereka tidak hilang mata pencarian.
“Kerajaan negeri memberi jaminan tiada pekerja kaunter tiket akan diberhentikan kerja dan setakat ini, tiada syarikat bas yang mengeluarkan notis pemberhentian kepada pekerja kaunter tiket,” jelas beliau.










