Anas mahu cipta legasi dalam industri kosmetik Malaysia - Utusan Malaysia

Anas mahu cipta legasi dalam industri kosmetik Malaysia

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR – Memiliki pengalaman dalam bidang fotografi secara profesional memberi satu kelebihan yang sangat berharga untuk usahawan mengembangkan perniagaan terutama sekali dalam memasarkan produk serta perkhidmatan di pasaran.

Keunikan gambar hasil bidikan dan kreativiti anak muda, Mohamad Anas Zahrin Atan, 31, yang dipertontonkan di platform media sosial telah berjaya menawan hati para pe­langgannya sehingga mampu menarik minat syarikat Sasa Malaysia melamar­nya untuk bekerja­sama.

Melalui usaha sama tersebut, produk keluaran syarikatnya, Anas Cosmetics berjaya ditempatkan di salah satu bahagian utama di dalam 33 rangkaian Sasa Malaysia berbanding pada peringkat awal hanya di 20 buah cawangannya di seluruh negara.

“Saya melihat pelawaan Sasa Malaysia yang meletakkan jenama Anas Cosmetics di beberapa cawangan terpilihnya merupakan peluang terbaik untuk syarikat mengukuhkan jenama dalam pasaran tempatan.

“Sasa Malaysia sebelum ini lebih memilih produk dari Korea dan Jepun untuk diperagakan dan ditawarkan kepada pelanggan, tetapi melalui pemilihan Anas Cosmetics, produk ini mampu melangkah lebih jauh untuk bersaing dengan produk luar negara,” katanya ketika ditemui di sini baru-baru ini.

Anak kelahiran Kota Tinggi, Johor itu menyimpan misi agar produknya dapat diperluaskan ke seluruh 280 cawangan Sasa Malaysia, selain memperluaskan keha­diran jenama tersebut melalui kerjasama dengan rakan niaga di Asia Barat dan negara jiran se­perti Indonesia serta Singapura menjelang tahun depan.

Beliau juga mengunjurkan pelan pengembangan yang agresif dengan menambah produk baharu daripada lima kepada 20 produk dan bakal melengkapkan lagi varian koleksinya bagi memberi lebih pilihan kepada pelanggan.

“Syarikat juga akan menambah jumlah pengedar kepada 200 orang pada tahun ini berbanding 100 orang pada masa sekarang manakala bilangan stokis pula bakal meningkat kepada 20 orang berbanding lima orang,” jelasnya.

Mohamad Anas menerangkan, berdasarkan perkembangan menggalakkan itu, pihaknya mengunjurkan jualan bertambah 10 kali ganda menjelang akhir tahun ini ekoran pelbagai faktor positif yang mengukuhkan prestasi kewa­ngan syarikat.

Beliau melihat 70 peratus daripada perolehan jualan bakal disumbangkan daripada pasaran di Sasa Malaysia manakala bakinya hasil jualan ejen dan stokis.

Anak petani ini berpendapat, kejayaan yang ditempa kini bukan datang dalam tempoh singkat, ia memerlukan pe­ngorbanan, ketekunan, masa dan pengalaman serta soko­ngan daripada keluarga.

“Saya menjadikan misi untuk membantu keluarga dan melihat kegembiraan mereka sebagai daya penguat untuk memotivasikan diri bila menghadapi pelbagai masalah yang mendatang dalam dunia perniagaan.

“Antara cabaran yang dihadapi sebelum ini ialah bebanan hutang dan kecaman daripada netizen gara-gara menceburkan diri daripada bidang fesyen kepada bidang kosmetik yang membuatkan saya murung seketika,” jelasnya.

Namun menurut Mohamad Anas, beliau sentiasa berfikiran positif dan mencari jalan penyelesaian untuk segala permasalahan yang mendatang.

“Saya tidak hiraukan segala­ cemuhan dan pandangan negatif orang luar terhadap usa­ha saya yang mengembangkan perniagaan daripada bidang fesyen kepada kosmetik. Saya fokus terhadap apa yang diusahakan dan setelah hampir enam bulan bergelut dengan isu tersebut, akhirnya usaha saya berbaloi apabila dapat menjalin usaha sama dengan Sasa Malaysia,” terangnya.

Lebih membanggakan, apabila beliau yang membuat kaji selidik secara rambang ketika berkunjung di cawangan Sasa Malaysia, produk Anas Cosme­tics mendapat maklum balas positif daripada pelanggan.

“Saya mahu jenama Anas Cosmetics ini digunakan oleh semua wanita di negara ini.

“Saya mahu mencipta satu legasi dalam bidang perniagaan dan juga dalam kosmetik,” jelasnya.

Mereka yang berminat untuk mendapatkan produk dan menjadi pengedar, boleh meng­hubungi talian 017-387 5986.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN