Anak Rohingya tercicir pendidikan - Utusan Malaysia

Anak Rohingya tercicir pendidikan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

COX’S BAZAR 1 Feb. – Terdapat kira-kira sete­ngah juta kanak-kanak etnik Islam Rohingya yang berada di kem pelarian terbesar di dunia dekat sini memerlukan pendidikan formal ketika bantuan antarabangsa didakwa tidak dapat menyediakan ke­perluan itu.

Los Angeles Times melapor­kan, keluarga pelarian Ro­hingya dan kerajaan Bangladesh mengkritik operasi kemanusian disokong Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) yang menerima sebanyak AS$655 juta (RM2.7 bilion) namun tidak menyediakan bilik darjah dan kurikulum yang mencukupi.

Pengkritik berkata, pusat pembelajaran sementara yang beroperasi daripada binaan buluh kendalian Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF) dan rakan agensinya lebih cende­rung mengajar menyanyi dalam Bahasa Inggeris.

Namun agensi itu kurang memberi penekanan kemahiran membaca, menulis dan kemahiran lain yang diajar semasa mereka bersekolah di Myanmar sebelum keganasan tercetus dua tahun lalu.

Ramai ibu bapa berasa kecewa dan menolak kemudahan tersebut kerana dianggap membazir masa dan menyebabkan ramai kanak-kanak berhenti daripada menyertai pusat pembelajaran terbabit.

ANAK ROHINGYA BOSAN KE PUSAT PEMBELAJARAN

Ibrahim Mohammad, 10, pernah berasa gembira ke sekolah dan bercita-cita untuk menjadi doktor namun semuanya berubah malah dia kini sukar untuk tersenyum.

Namun kata bapa kanak-kanak itu, Mohammad Eleyas, keganasan itu mengubah anaknya dan ketiadaan sekolah membuat keadaan menjadi lebih teruk.

“Mereka mengajar anak-anak kita lagu sama berulang kali dan Ibrahim berasa bosan dan tidak mahu ke sekolah lagi,” katanya.

Menurut Ketua Komuniti Masyarakat Rohingya di kem tersebut, Muhib Ullah, masa depan anak-anak ini bergantung kepada pendidikan namun di pusat pembelajaran mereka tidak belajar apa-apa di sana walaupun sudah lebih setahun.

UNICEF, SEKUTU CENDERUNG KUTIP DANA

Kemuncak krisis ini berlaku pada Disember lalu apabila Suruhanjaya Pemulihan dan Bantuan Pelarian Bangladesh menuduh UNICEF dan 10 rakan agensinya membuat laporan salah tentang jumlah anak-anak pelarian yang menyertai pusat pem­belajaran tersebut.

Berdasarkan minit mesyua­rat yang diperolehi The Times, suruhanjaya tersebut berkata, pihaknya mendapat tahu bahawa agensi-agensi tersebut tidak mengesan kakan-kanak yang berhenti daripada menghadiri pusat pembelajaran berkenaan menyebabkan jumlah pendaftaran terlalu tinggi untuk mendapatkan dana.

Mereka dipercayai berbuat demikian untuk menarik minat kanak-kanak ke pusat pembelajaran masing-masing bagi meningkatkan jumlah pelajar yang perlu dibantu semasa memohon dana daripada penderma.

TIADA KOMUNIKASI DENGAN BANGLADESH

Walaupun suruhanjaya tersebut tidak menyebut agensi yang melakukan salah laku namun kese­mua agensi bantuan antarabangsa dan Bangladesh yang terlibat dipanggil untuk bermesyuarat.

Dua pegawai Bangladesh daripada suruhanjaya itu iaitu Shammimul Haq Pavel dan A.S.M. Obaidullah berkata, UNICEF dan rakan agensinya tidak berunding dengan kerajaan tentang strategi mereka di sam­ping mengabaikan permintaan untuk komunikasi lebih baik.

“Bangladesh bukan zon konflik seperti Yemen atau Syria di mana rakan-rakan (agensi bantuan) boleh bertindak tanpa kelulusan daripada kerajaan tempatan,” kata Pavel.

UNICEF SEDIA BUAT PEMBAHARUAN

Jurucakap UNICEF, Jean-Jacques Simon mengakui bahawa terdapat ‘jurang komunikasi’ dan akan bekerjasama dengan pejabat pendidikan rendah kerajaan tempatan di Cox’s Bazar untuk meningkatkan hubungan dengan pihak berkuasa Bangladesh dalam masa terdekat.

Simon berkata, UNICEF telah bersetuju untuk membuat pindaan terhadap data mengenai jumlah pendaftaran kanak-kanak di pusat-pusat pembelajaran bagi mengetahui bilangan yang berhenti.

Mengulas mengenai laporan ‘merampas tanah’ iaitu membuka pusat pembelajaran tanpa kelulusan daripada pihak berkuasa kem pelarian adalah kerana terdapat lebih 100 agensi yang memberikan bantuan,

Ketua Suruhanjaya Bangladesh, Mohammad Abul Kalam berkata, kesukaran yang dihadapi agensi-agensi bantuan kemanusian tidak terbatas kepada sektor pendidikan sahaja.

“Adalah malang wujudnya persaingan antara agensi bantuan tersebut disebabkan ke­perluan yang tinggi, sumber kewangan dan manusia tidak mencukupi selain kawasan yang terhad,” katanya menerusi e-mel.

GENERASI YANG HILANG

UNICEF memberi amaran tentang ‘generasi yang hilang’ dalam kalangan kanak-kanak Rohingya yang merupakan 60 peratus daripada jumlah pelarian di kem tersebut.

Mereka dilihat mengumpul kayu api di mana-mana, membantu ibu bapa kerja-kerja rumah, membuat apa sahaja pekerjaan namun sering kali bermain di jalanan.

Sehingga Julai lalu, kira-kira 1,200 pusat pembelajaran beroperasi di dalam kem dan hampir 140,000 kanak-kanak telah didaftarkan.

Menurut data UNICEF terkini, 39 peratus kanak-kanak berumur empat hingga 14 tahun tidak menghadiri pusat pembelajaran. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN