Anak Dhani paling panas - Utusan Malaysia

Anak Dhani paling panas

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Di sebalik wajah yang tampan dan sikap yang pendiam, penyanyi juga pelakon Ahmad Al-Ghazali atau lebih mesra disapa Al kerap mencuri perhatian peminat dengan pelbagai kisah kontroversi.

Terbaharu, pemuda berusia 21 tahun ini terpalit dengan satu lagi isu panas ekoran dakwaan bergaduh dengan teman wanitanya, Alyssa Daguise. Pertengkaran pasangan ini dirakam menerusi satu video dan tular dalam media sosial.

Dalam video tersebut Al yang dikatakan dalam keadaan mabuk keluar daripada sebuah kereta dan menuju ke arah kekasihnya. Lalu dia menolak gadis itu sehingga terjatuh di tepi jalan.

Kejadian itu dirakam kemudian tersebar di Internet dan tular sejak seminggu lalu. Ramai yang mengecam, tak kurang juga bengang dengan peristiwa berkenaan.

Ada juga yang menasihati Alyssa supaya menjarakkan diri dengan pelakon filem Runaway itu.

Namun sebilangan warganet berpandangan aksi berkenaan hanyalah gelagat pasangan muda itu yang sengaja mahu mencari publisiti. Apatah lagi ini bukanlah kali pertama hubungan percintaan Al dan Alyssa menjadi bualan masyarakat.

Sejak menjalinkan hubungan tiga tahun lalu, Al dan model berusia 20 tahun itu pernah mencetus kontroversi berikutan foto mereka berkucupan bibir tular dan mendapat kecaman daripada banyak pihak.

Sebagaimana yang dijangka, selepas pertengkaran tersebut tular, Al mengaku bersalah dan memohon maaf.

“Ketika kamu melakukan kesalahan, hanya ada tiga perkara harus kamu lakukan. Hal itu adalah akui, pelajari dan jangan ulangi,” tulisnya.

Malah pada sambutan Hari Kekasih pada 14 Februari lalu, pasangan ini mempamerkan kemesraan mereka sekali gus langsung tidak menunjukkan tanda hubungan mereka sedang bermasalah.

Darah muda

Dilahirkan sebagai anak artis, putera sulung kepada pemuzik terkenal Ahmad Dhani dan penyanyi Maia Estianty ini memang selalu menjadi buruan pihak media.

Meraih populariti dalam bidang lakonan dan muzik, 
dia yang menjadi kegilaan
 ramai wanita sering mempamerkan kelakuan ‘nakal’ sehingga namanya menjadi bahan kutukan segelintir pihak.

Tak kurang ada yang menyamakan perangai buruknya dengan perangai bapanya yang juga diketahui selalu mencetuskan kontroversi.

Misalnya, isu dia dikatakan suka berhibur di kelab malam sehingga mabuk padahal 
kelab malam antara lokasi pekerjaan sebagai seorang DJ 
(disc jokey).

Ketika itu kecoh mengenai aktivitinya itu menerusi sebuah video yang tular sekitar 2017. Dalam video tersebut menunjukkan Al dalam keadaan khayal asyik berseronok dengan Alyssa.

Reda isu berkenaan, Al sekali lagi diserang warganet lantaran sikapnya tanpa segan silu mempamerkan aksi bercumbu dengan wanita itu di depan khalayak.

Video aksi tersebut dimuat naik Al sendiri menerusi Insta-Story tetapi selepas mendapat banyak kritikan, dia bertindak memadamkan hantaran tersebut.

Biarpun sudah mempunyai kekasih namun Al tidak terlepas daripada digosipkan dengan wanita lain. Pada April 2018, tersebar foto mesra Al bersama seorang wanita bernama, Tanaya.

Timbul dakwaan dia curang dalam diam dan menjalinkan hubungan dengan model tersebut. Bagaimanapun keakraban Al dan Tanaya hanya disebabkan mereka sama-sama terlibat dalam sebuah projek.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN