SHAH ALAM 26 Feb. – Anak buaya tembaga yang kelibatnya terlihat di Tasik Shah Alam, Seksyen 14, Jumaat lepas, berjaya ditangkap pada pukul 11.30 pagi tadi apabila memasuki perangkap yang dipasang oleh Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan).
Pengarah Perhilitan Selangor Abd. Rahim Othman berkata, anak buaya sepanjang satu meter itu didapati masuk ke dalam perangkap yang dipasang di kawasan tasik itu itu sejak lima lepas.
“Hasil pemantauan berterusan daripada 22 Feb lepas, tiga perangkap sederhana dan satu pukat, telah dipasang dan hasilnya hidupan liar itu masuk ke dalam satu daripada perangkap berkenaan ketika memakan umpan ayam yang diletakkan dalam perangkap tersebut.
”Anak buaya yang belum dapat dipastikan jantina itu akan dihantar ke pusat Paya Indah Wetland (PIW) jabatan ini,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Sementara itu, Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) berterima kasih kepada agensi berkaitan termasuk Perhilitan yang telah berusaha menangkap anak buaya itu supaya tidak menjadi ancaman kepada keselamatan orang ramai yang beriadah di kawasan tasik terbabit.
Jumaat lepas, orang awam terlihat kelibat anak buaya itu dan melaporkannya kepada pihak berkuasa. Anak buaya itu dipercayai dilepaskan ke dalam tasik itu oleh pihak tidak bertanggungjawab.
Ini susulan siasatan awal Perhilitan yang mendapati tasik berkenaan tidak bersambung atau mempunyai saluran terus ke mana-mana sungai utama di negeri ini. – BERNAMA











