Ambil alih pengurusan bazar Ramadan, PPPMKWP tetap kemuka rayuan - Utusan Malaysia

Ambil alih pengurusan bazar Ramadan, PPPMKWP tetap kemuka rayuan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 24 Feb. – Persatuan Penjaja dan Peniaga Kecil Melayu Wilayah Persekutuan (PPPKMWP) akan mengemukakan rayuan kepada Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) bagi menuntut pihak berkuasa tempatan itu menyerahkan permohonan bagi menguruskan semula sebanyak 2,110 tapak bazar Ramadan kepada pihaknya.

Bendahari PPPKMWP, Mohamad Zamri Mohamed berkata, permohonan itu penting bagi memastikan ahli-ahli yang bernaung di bawah persatuan berkenaan terus diberi peluang untuk berniaga di tapak sedia ada.

Katanya, DBKL tidak sewajarnya mengambil alih pengurusan bazar yang melibatkan sembilan cawangan di sekitar ibu kota memandangkan ia merupakan tapak tradisi yang diuruskan oleh mereka sejak 30 tahun lalu.

“Di bawah pengurusan persatuan, kami permudahkan segala urusan permohonan peniaga berbanding DBKL.

“Kami juga menetapkan harga sewa antara RM350 hingga RM400 dan ia tidak jauh beza dengan kadar yang ditetapkan oleh DBKL,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Beliau diminta mengulas kenyataan Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Abdul Samad yang tegas dengan keputusan DBKL untuk menguruskan sendiri penganjuran bazar Ramadan daripada pihak ketiga bermula tahun ini.

Khalid berkata, dasar baharu itu akan memberi peluang sama rata kepada peniaga selain menghapuskan monopoli dan budaya ‘ali baba’ dalam sektor itu.

Ditanya mengenai kes kenaikan kadar sewa tapak sehingga mencecah puluhan ribuan ringgit di bazar Ramadan Jalan Masjid India, Mohamad Zamri berkata, perkara itu tidak akan berlaku sekiranya DBKL menjalankan pemantauan dan penguatkuasaan.

“Jangan salahkan persatuan kerana ia berlaku di luar daripada bidang kuasa kami. Kenaikan ini disebabkan oleh permintaan yang tinggi sehingga ada peniaga sanggup menyewa tapak pada kadar yang terlampau mahal,” katanya.

Sehubungan itu, Mohamad Zamri yang juga Setiausaha Agung Gabungan Persatuan Penjaja Peniaga Kecil Melayu Malaysia berkata, pihaknya akan mengadakan pertemuan dengan Khalid dalam masa terdekat bagi membincangkan permasalahan itu secara terus. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN