Ambil alih konsesi lebuh raya, hanya cakap politik - Utusan Malaysia

Ambil alih konsesi lebuh raya, hanya cakap politik

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

HULU LANGAT 24 Feb. – Kenyataan Pejabat Perdana Menteri bahawa kerajaan Pakatan Harapan (PH) telah memulakan rundingan dengan Gamuda Bhd. (Gamuda) untuk mengambil alih konsesi lebuh raya disifatkan hanya sebagai cakap-cakap politik sahaja.

Timbalan Presiden UMNO yang menjalankan tugas-tugas Presiden, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, pengumuman itu tidak lebih hanya untuk menyedapkan hati rakyat terutama ketika berlangsungnya kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Semenyih.

“Belum ada lagi terma rujukannya, cuma mereka mengumumkan untuk menyedapkan hati orang di Semenyih ini. Jadi saya rasakan ini hanya cakap cakap politik, pengumuman politik sahaja.

“Kita tak tahu berapa jumlah bailout, yang mereka nak beli daripada Gamuda, mengapa Gamuda sahaja, kenapa tidak PLUS? Saham PLUS dipunyai sahamnya oleh Khazanah Nasional Berhad (Khazanah) dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP),  lebih baik jika kerajaan buat bailout ataupun mengambil alih PLUS,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menziarahi penduduk di Kampung Sungai Jai, Beranang di sini hari ini.

Pejabat Perdana Menteri semalam dalam kenyataan menjelaskan kerajaan telah memulakan proses rundingan dengan Gamuda untuk mengambil alih konsesi empat lebuh raya yang dikuasai syarikat tersebut.

Lebuh raya berkenaan ialah Lebuhraya Damansara Puchong (LDP), Sistem Penyuraian Trafik KL Barat (Sprint), Lebuh Raya Shah Alam (Kesas) dan Terowong Smart.

Mengikut cadangan pengambilalihan, kadar tol akan dihapuskan pada waktu bukan puncak antara pukul 11 malam hingga 5 pagi. 

Sementara itu, Mohamad yang juga merupakan Timbalan Pengerusi BN turut mempersoalkan kesanggupan kerajaan untuk menyelamatkan Gamuda yang bukan dimiliki kerajaan.

“Apakah kerajaan sekarang masih lagi boleh berhutang besar untuk membuat bailout? Kerajaan tidak perlu mengeluarkan belanja untuk Gamuda beroperasi, mengapa sanggup mengeluarkan berbilion ringgit untuk menyelamatkan Gamuda?

“Mengapa tidak mengeluarkan berbilion ringgit itu untuk bantu orang susah ataupun bantu orang kampung, harga komiditi jatuh teruk, orang susah duduk di luar bandar, itu persoalan dia,” katanya.

Jelas Mohamad lagi, jika kerajaan meminjam untuk membantu orang luar bandar, dan meningkatkan tahap kesihatan beliau akan memberikan sokongan tetapi jika meminjam untuk menyelamatkan Gamuda, perkara itu baginya adalah tidak betul. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN