LANGKAWI 24 Feb. – Kerajaan Pakatan Harapan (PH) akan mengambil alih konsesi lebuh raya lain secara berperingkat mengikut kemampuan kewangan negara selepas ini.
Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad berkata, pada masa ini, kerajaan hanya berkemampuan untuk melaksanakan di empat lebuh raya terlebih dahulu.
Katanya, untuk memberhentikan kutipan tol kerajaan, mesti berbelanja besar untuk beli lebuh raya-lebuh raya di seluruh negara.
“Kita tidak mungkin dapat menghapuskan sepenuhnya kutipan tol tetapi kita buat mengikut fasa iaitu waktu-waktu tertentu tidak perlu bayar, ada masa kena bayar.
“Kos amat tinggi dan pada mula ini kita tumpu apa yang mampu di Kuala Lumpur dan akan diperluaskan di tempat-tempat lain mengikut kemampuan,” katanya ketika ditemui selepas melancarkan Kampungku Sihat peringkat kebangsaan dan bertemu rakyat di Pusat Khidmat Ahli Parlimen Langkawi di sini, hari ini.
Pejabat Perdana Menteri semalam dalam kenyataan menjelaskan kerajaan telah memulakan proses rundingan dengan Gamuda Bhd. (Gamuda) untuk mengambil alih konsesi empat lebuh raya yang dikuasai syarikat tersebut.
Lebuh raya berkenaan ialah Lebuhraya Damansara Puchong (LDP), Sistem Penyuraian Trafik KL Barat (Sprint), Lebuh Raya Shah Alam (Kesas) dan Terowong Smart.
Mengikut cadangan pengambilalihan, kadar tol akan dihapuskan pada waktu bukan puncak antara pukul 11 malam hingga pukul 5 pagi.
Sementara itu, ketika ditanya mengenai rundingan dengan Gamuda, Dr. Mahathir secara ringkas memberitahu, perkara itu diuruskan oleh Menteri Kewangan, Lim Guan Eng. – UTUSAN ONLINE










