Amalkan budaya No Plan B - Utusan Malaysia

Amalkan budaya No Plan B

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Malaysia merupakan sebuah negara majmuk yang mempunyai pelbagai bangsa, keturunan dan budaya. Kepelbagaian ini menyebabkan Malaysia menjadi sebuah negara yang amat unik di dunia.

Kekuatan kepelbagaian ini jugalah yang memberikan kekuatan kepada Malaysia untuk berdiri kukuh dan stabil sama ada dalam aspek ekonomi, sosial dan politik sehingga kini.

Impak daripada kekuatan inilah, Malaysia telah mengecapi pelbagai kejayaan dalam pelbagai aspek semenjak mencapai kemerdekaan pada tahun 1957.

Untuk memastikan kecemerlangan yang dikecapi oleh negara semenjak 61 tahun yang lepas berterusan pada masa akan datang, masyarakat Malaysia harus bersedia untuk membuat transformasi minda dalam pelbagai perkara.

Antara transformasi minda yang perlu untuk mengekalkan momentum kecemerlangan negara ialah budaya kecemerlangan dan kejayaan tanpa memikirkan unsur negatif seperti kegagalan dalam apa jua perancangan dan aktiviti yang dilakukan.

Untuk mencapai hasrat dan matlamat tersebut, adalah amat penting kepada masyarakat Malaysia untuk membudayakan No Plan B dalam segala aktiviti dan program seharian mereka.

Terdapat tiga sebab utama bagaimana budaya No Plan B mampu menjadikan masyarakat Malaysia dan negara terus cemerlang setiap masa.

Melakukan yang terbaik

Pelaksanaan budaya No Plan B mampu untuk melahirkan generasi yang baik. Apabila diberikan sesuatu tugas dan tanggungjawab, mereka akan melaksanakan dengan sebaik mungkin dengan kejayaan dan kecemerlangan adalah matlamat akhir tanpa memberi ruang kepada kecacatan ataupun kegagalan.

Budaya No Plan B juga mampu untuk melahirkan masyarakat yang mempunyai winning mentality ataupun mentaliti kejayaan.

Mentaliti kejayaan ini amat penting untuk memastikan setiap perkara yang dilakukan tidak akan memberi ruang kepada kegagalan atau kecacatan untuk berlaku.

Budaya seperti ini telah pun berlaku di beberapa buah negara maju seperti Jepun, Jerman dan Korea.

Masyarakat di negara tersebut sentiasa memikirkan tentang kejayaan dan kecemerlangan apabila mereka terlibat dalam sebarang aktiviti atau program.

Oleh yang demikian, masyarakat di negara tersebut hanya memfokuskan usaha dan masa mereka terhadap kejayaan demi kejayaan sepanjang masa dan tidak menghabiskan masa untuk memikirkan masalah kegagalan atau kecacatan.

Rintangan sebagai peluang

Budaya No Plan B juga mampu melatih setiap ahli masyarakat di negara ini untuk melihat segala masalah yang dihadapi sebagai satu peluang untuk mencapai lebih banyak kejayaan dan kecemerlangan.

Masalah yang dihadapi oleh masyarakat dilihat sebagai satu insentif yang sangat berguna untuk meningkatkan semangat dan produktiviti.

Sekiranya budaya No Plan B ini dapat direalisasikan dengan jayanya oleh setiap lapisan masyarakat, pastinya Malaysia mampu muncul sebagai sebuah negara maju, cemerlang dan bebas daripada sebarang rungutan dan ketidakpuasan hati yang sering berlaku dalam kalangan masyarakat di dunia ini.

Masyarakat yang telah menjiwai budaya ini juga mampu untuk muncul sebagai masyarakat yang sentiasa bersyukur dengan apa yang diperoleh.

Masyarakat seperti ini seringkali akan melihat masyarakat lain yang kurang bernasib baik agar memberikan mereka suntikan motivasi untuk terus berusaha mengekalkan segala kenikmatan dan keselesaan yang sedang dinikmati.

Berfikiran positif

Masyarakat yang berjaya mengaplikasikan budaya No Plan B ini juga sentiasa berfikir secara positif dalam apa jua keadaan.

Kepada masyarakat sebegini, mereka percaya setiap apa yang berlaku ada hikmahnya.

Kepada mereka, apa yang lebih penting ialah meneruskan usaha, aktiviti serta program yang telah dirancang sehingga mencapai matlamat dan agenda yang telah ditetapkan.

Justeru dalam masyarakat seperti ini, elemen-elemen negatif seperti rungutan dan perasaan tidak puas hati sukar untuk berlaku. Ini kerana setiap daripada mereka hanya melihat dalam perspektif yang positif walaupun kadang-kadang aktiviti dan program yang dilaksanakan tidak mencapai matlamat dan agenda yang telah ditetapkan.

Kesimpulan

Untuk membolehkan sesebuah masyarakat dan negara maju menjadi cemerlang, segala budaya negatif perlulah dihapuskan secara keseluruhan.

Bagi merealisasikan hasrat dan matlamat tersebut, masyarakat perlulah menghayati dan mengaplikasikan budaya No Plan B dalam kehidupan seharian mereka.

Budaya No Plan B bukan sahaja mampu untuk menjadikan masyarakat dan negara cemerlang tetapi ia juga mampu melahirkan ahli masyarakat yang sentiasa berfikiran positif, melihat setiap masalah serta kesukaran sebagai satu peluang untuk terus berjaya dan sentiasa melakukan yang terbaik.

Sikap dan budaya inilah yang menjadi resipi utama kepada kemajuan dan kejayaan negara-negara maju di dunia ini.

Semoga Malaysia akan terus maju dan cemerlang selari dengan hasrat dan agenda negara Wawasan 2020.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN