AirAsia tuntut RM480 j daripada MAHB - Utusan Malaysia

AirAsia tuntut RM480 j daripada MAHB

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 31 Jan. – Syarikat penerbangan tambang rendah, AirAsia Berhad (AirAsia) menghantar notis tuntutan hampir RM480 juta kepada Malaysia Airports (Sepang) Sdn. Bhd. (MASSB) atas kerugian yang ditanggung kerana beroperasi di Lapangan Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (KLIA2).

MASSB merupakan anak syarikat milik penuh Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB).

AirAsia dalam kenya­taan berkata, pihaknya merekodkan kerugian sebanyak RM479,781,285 dan punca utama kerugian itu disebabkan kehilangan pelanggan dalam tempoh empat tahun terakhir berikutan gangguan dan keadaan terminal yang lemah.

“Dalam notis untuk memulakan pengantaraan yang di­sampaikan kepada MASSB, AirAsia dan cabang perniagaan pe­nerbangan jarak jauh, AirAsia X Berhad (AAX) menyatakan MASSB telah menyediakan perkhidmatan yang lemah di terminal berkenaan hingga menyebabkan kerugian dan kerosakan kepada kedua-dua syarikat.

“Ini termasuk pembatalan dan kehilangan hasil daripada pelbagai penutupan landasan, kecaca­tan apron, kerosakan dua buah pesawat yang disebabkan oleh kegagalan sensor dan infrastruktur MASSB, saluran minyak bocor di KLIA2 Pier P, gangguan internet dan kehilangan pe­langgan,” katanya dalam kenya­taan di sini hari ini.

AirAsia dan AAX mencari penyelesaian bersama selaras dengan Seksyen 74 Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (Mavcom) yang memerlukan pertikaian itu diselesaikan dengan cara baik melalui peng­antaraan.

Di bawah akta itu, Mavcom akan campur tangan untuk menyelesaikan pertikaian tersebut sekiranya proses itu gagal.

Kedua-dua syarikat berharap dapat menyelesaikan isu berkenaan dengan baik dan memfailkan tuntutan balas di mahkamah supaya proses peng­antaraan boleh diteruskan se­perti termaktub di dalam akta.

Bagaimanapun, pihak MASSB mempunyai hak untuk menolak semua penyelesaian untuk men­­dapatkan semula kerugian yang telah mereka lakukan termasuk pilihan mendapatkan ganti rugi di mahkamah.

MASSB pada Disember tahun lalu menyaman AAX sebanyak RM26.72 juta untuk tunggakan caj perkhidmatan penumpang (PSC).

Dakwaan tunggakan itu terbahagi kepada dua bahagian. Pertama, AAX telah mengutip sebanyak RM50 setiap penumpang antarabangsa bukan ASEAN dan telah membayar kepada MASSB. Kedua, tunggakan PSC sebenarnya telah dikutip.

AirAsia minggu lalu telah memfailkan permohonan untuk membatalkan tuntutan saman berkenaan dengan alasan MASSB tidak mematuhi atau memanfaatkan peruntukan statutori untuk penyelesaian pertikaian dalam Akta Mavcom dan tuntutan yang dibuat adalah salah, tidak sah dan atau pramatang.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×