HULU LANGAT 27 Feb.- Presiden Pertubuham Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa), Datuk Dr. Ibrahim Ali menyifatkan calon Pakatan Harapan (PH) Muhammad Aiman Zainali boleh menang seterusnya menjadi wakil rakyat.
Namun jelas Ibrahim, kemenangan tersebut bukanlah pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Semenyih yang sedang ditandingi oleh jurutera muda tersebut.
“Muhammad Aiman muda lagi, baru 30 tahun, pilihan raya umum akan datang baru 34 tahun, pilihan raya seterusnya baru 40 tahun, banyak kali lagi boleh bertanding.
“Pusingan kali ini hanyalah untuk dia cari pengalaman tapi biarlah kalah dahulu dan beri calon Barisan Nasional (BN), Zakaria Hanafi menang. Selepas dia kalah nanti, harap dia jumpa saya, saya akan basuh dia sikit,” katanya sewaktu berucap dalam program Ceramah Umum di Bandar Tasik Kesuma, Beranang di sini malam tadi.
Yang hadir sama, Ahli Parlimen Pendang, Awang Hashim; Ketua UMNO Bahagian Puchong, Datuk Dr. Mohammed Satim Diman.
Sementara itu, jelas Ibrahim, beliau bersetuju dengan hasrat UMNO dan Pas untuk bermuafakat untuk mencari jalan bagi memenangi pilihan raya umum akan datang.
“Eloklah, kalau boleh cari jalan untuk pilihan raya umum ke-15 nanti, masing-masing jangan terus besar kepala tetapi mesti ada tolak ansur, jangan ada nanti perebutan kerusi.
“Tidak kira berapa kerusi pun, yang pasti kita mesti kena menang, jangan biar bumi kita pijak dimilik orang,” katanya.-UTUSAN ONLINE











