TAIPING – Seorang ahli perniagaan dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan memalsukan dokumen bagi mendapatkan pinjaman bank berjumlah lebih RM1.39 juta 16 tahun tahun lalu.
Tertuduh, Azmi Ismail, 53, yang juga dikenali sebagai Azmi Juta, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim Che Noralashiken Abd. Razak.
Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa memalsukan satu dokumen surat cagaran berharga iaitu Istisna’s Sale Agreement bagi mendapatkan pinjaman bank daripada Bank Muamalat Taiping bernilai RM1,395,700.44 dengan niat menyebabkan kerugian kepada bank berkenaan.
Perbuatan tersebut didakwa dilakukan di sebuah firma guaman di Jalan Raja Sulong, Medan di sini pada 19 Februari 2003.
Tertuduh didakwa dilakukan melakukan kesalahan mengikut Seksyen 471 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 467 kanun sama yang boleh dihukum penjara sehingga 20 tahun atau denda atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Mohd. Azrul Faidz manakala tertuduh diwakili peguam bela, P. Ravee.
Mohd. Azrul memohon mahkamah memberikan jaminan yang tinggi iaitu RM100,000 terhadap tertuduh.
Ravee dalam rayuan kepada anak guamnya memohon mahkamah memberikan ikat jamin yang rendah iaitu RM20,000 terhadap tertuduh.
Che Noralashiken membenarkan tertuduh diikat jamin RM30,000 dengan dua orang penjamin serta syarat tambahan pasportnya perlu diserahkan kepada mahkamah selain melapor diri di Balai Polis Taiping setiap bulan. Tertuduh membayar wang jaminan berkenaan.
Mahkamah menetapkan 18 April depan sebagai tarikh sebutan semula kes. – K! ONLINE









