‘Adib kena bantai’ - Utusan Malaysia

‘Adib kena bantai’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM 13 Feb. – Saksi keempat prosiding inkues kematian Muhammad Adib Mohd. Kassim yang memasuki hari ketiga hari ini mendedahkan orang awam memaklumkan kepadanya anggota bomba yang dilihatnya dalam keadaan menahan sakit telah dibantai dalam insiden rusuhan di Kuil Sri Maha Mariamman, USJ 25 dekat sini pada 27 November lalu.

Amirrul Adli M. Yussli, 26, berkata, dia ternampak seorang anggota bomba iaitu Muhammad Adib dalam keadaan kedua-dua kaki melunjur sambil membongkok seolah-olah menahan kesakitan di lokasi kejadian.

Menurutnya, ketika kejadian, dia sedang memeriksa keretanya yang kemik di bahagian hadapan akibat pelanggaran yang berlaku semasa kekecohan tersebut.

Memuatkan artikel berkaitan…

Ujarnya, ketika itu, jarak antara dia dan anggota bomba terbabit kira-kira 40 meter dan dapat mengecamnya melalui baju T dan seluar bomba berwarna jingga yang dipakainya.

“Saya toleh ke kanan dan nampak anggota bomba itu seakan-akan menahan sakit sebelum dia diangkat oleh beberapa orang dan mereka membaringkannya di hadapan kereta saya.

“Saya lihat anggota bomba itu hampir pengsan dan ada bertanya kepada seorang lelaki India kenapa dan dia mengatakan ‘kena bantailah apa lagi’ namun, apabila saya bertanya kepada orang lain, mereka me­ngatakan tidak nampak.

“Ada seseorang bertanyakan sama ada boleh menghantar anggota bomba itu ke hospital. Saya beritahu pintu kereta sebelah pemandu tidak boleh dibuka kerana dilanggar jentera bomba sebelum beberapa lelaki mengangkatnya hingga ke persimpangan USJ 16/2 dan saya tidak tahu apa yang berlaku selepas itu,” katanya.

Amirrul Adli berkata demikian ketika menjawab so­alan Pegawai Pengendali, Faten Hadni Khairuddin di hadapan Koroner Rofiah Mohamad di Mahkamah Koroner di sini.

Menceritakan lanjut, Amirrul yang sedang menjalani latihan pramugara di sebuah syarikat penerbangan menjelaskan, dia bersama rakannya berada di lokasi kejadian kerana dalam perjalanan ke rumah rakan mereka di Putra Heights kira-kira pukul 12.30 tengah malam.

Jelasnya, dia memberhentikan kereta di sebelah kiri jalan untuk melihat sebuah kereta yang terbakar sambil melihat terdapat ramai orang berkumpul di persimpangan jalan.

“Saya melihat ramai orang di situ berborak dan sebahagian daripada mereka minum arak. Kemudiannya, beberapa minit selepas pukul 1 pagi, ternampak jentera Fire Rescue Tender (FRT) dan van Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) tiba bagi memadamkan kereta terbakar.

“Ketika jentera berhenti, kelihatan seorang anggota bomba turun namun sekumpulan individu dari arah kuil menghampiri dan menjerit jangan padam api. Mereka menghampiri jentera FRT untuk menyerang dan saya nampak ada yang baling botol ke arah cermin selain ada seorang cuba mencucuk cermin itu dengan besi putih,” ujarnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×