MACAM-MACAM yang berlaku sekarang. Daripada satu isu kepada satu isu. Baru-baru ini timbul bab menteri Kabinet bertelagah sesama sendiri berhubung isu status projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) hingga ditegur oleh bekas Pengerusi Majlis Penasihat Kerajaan, Tun Daim Zainuddin.
Sebelum itu isu kes kematian anggota bomba Allahyarham Muhammad Adib Mohd Kassim selepas dipercayai diserang dan dipukul perusuh dalam kejadian kekecohan di tapak Kuil Sri Maha Mariamman, USJ 25, Subang Jaya pada, 27 November tahun lalu.
Berhubung kes tersebut, Mahkamah Koroner di Shah Alam menetapkan 11 Februari hingga 12 April ini sebagai tarikh prosiding inkues bagi menyiasat punca kematian Allahyarham.
Itu belum lagi disentuh isu kerajaan Pakatan Harapan gagal tunaikan janji hingga menjadi kecaman dalam kalangan netizen ketika ini dan terbaharu isu pelantikan Ahli Lembaga Pemegang Amanah Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim) yang baharu.
Rata-rata ahli-ahli politik Islam, para agamawan dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Islam tidak bersetuju dengan pelantikan tersebut. Bagi mereka pelantikan itu tidak sewajarnya kerana sebahagian besar ahli lembaga dalam kalangan orang politik. Perkara ini tidak pernah berlaku ketika Yadim di bawah pentadbiran Barisan Nasional (BN).
Ketika Yadim di bawah pentadbiran kerajaan terdahulu, kesemua ahli lembaganya terdiri dalam kalangan bekas mufti, agamawan dan profesional Islam.
Lebih malang lagi salah seorang ahli lembaga yang dilantik itu adalah seorang wakil rakyat daripada DAP. Sedangkan kita sendiri cukup maklum bagaimana DAP selama ini tidak pernah bersetuju dengan pelaksanaan dasar Islam di negara ini.
Dalam usaha untuk memperkasakan Islam, DAP tidak pernah setuju. Sebagai contoh, cadangan pindaan Rang Undang-undang Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) (Pindaan) 2016 (RUU 355), DAP adalah satu pihak yang cukup kuat menentang.
Nampaknya inilah harga yang perlu dibayar selepas negara ini ditadbir oleh kerajaan Pakatan Harapan. Memang tidak dinafikan kerajaan terdahulu ada kelemahannya tertentu tetapi tidaklah sampai ke tahap ini. Yadim ketika itu dibarisi mereka yang ahli dalam bidang agama dan dakwah.
Justeru, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Mujahid Yusof usahlah melenting jika ada pihak yang mempersoalkan pelantikan itu. Ini soal kebimbangan umat Islam di negara ini yang tidak mahu Yadim menjadi alat politik kepartian apatah lagi ada wakil DAP di dalamnya.
Mereka khuatir Yadim akan menyimpang daripada tujuan asal penubuhannya. Mereka bimbang peranan Yadim sebagai medan dakwah berubah. Mereka risau ideologi Islami yang selama ini menjadi dasar Yadim bertukar.
Apapun penulis yakin umat Islam di Malaysia ketika ini sedang memerhati apa yang sedang berlaku dan perkembangan terbaharu dalam Yadim ini mungkin dalam radar mereka.
Dalam pada itu ada orang kata, kerajaan Pakatan Harapan telah mungkir janji kerana melantik ahli politik sebagai ahli lembaga Yadim sedangkan langkah itu jelas bertentangan dengan manifesto. Penulis kurang pasti kerana manifesto itu lebih kepada pelantikan peneraju syarikat milik kerajaan (GLC) dan bukan institusi seperti Yadim.
Namun, percayalah jika benar pelantikan ahli lembaga Yadim yang baru ini turut tertakluk dengan kehendak manifesto, mereka akan mengadakan 1,001 alasan untuk membenarkan pelakuan tersebut. Lagipun apa yang terkandung dalam manifesto Pakatan Harapan itu susah untuk dipercayai kerana banyak janji yang terkandung di dalamnya gagal ditunaikan.
Penulis malas hendak menyebutnya di sini kerana yakin rakyat sudah cukup maklum. Bak kata orang janji tinggal janji. Jika ditanya, alasan mereka mudah, ini semua salah kerajaan Barisan Nasional (BN).
Berbalik kepada isu pelantikan ahli lembaga Yadim itu, tidak terlambat jika pelantikan tersebut disemak semula meskipun sedar Mujahid tidak akan berundur.











