Ada pengurus lebih teratur - Utusan Malaysia

Ada pengurus lebih teratur

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Selama 15 tahun menjalankan karier seni tanpa dibantu oleh pengurus, akhirnya penyanyi Azharina Azhar akur untuk mempunyai seseorang di belakangnya sekali gus memberi sedikit kelegaan untuk dia mengatur langkah dalam industri.

Berada dalam kelompok penghibur yang berjaya, Azharina yang juga juara Gegar Vaganza 2016 sedar dan mengakui kepentingan seorang pengurus bagi melicinkan kerja-kerja seninya pada saat ini.

Atas dasar itu, penyanyi lagu Elegi Sepi ini memberi tanggungjawab kepada Jojie Aminuddin untuk menguruskan karier seninya yang semakin rancak dihujani tawaran persembahan.

Jelas Azharina lagi, Jojie yang juga kakak kepada Ratu Rock Ella menjadi pilihan pertamanya kerana melihatkan profil wanita itu yang berjaya membawa nama Ella ke serata dunia.

“Pengalaman Jojie yang menguruskan Ella selama 32 tahun membuatkan saya yakin dan percaya dia mampu melakukan hal yang sama pada karier nyanyian saya.

“Kami mula berbincang sejak tahun lepas dan akhirnya sepakat untuk menjalinkan kerjasama. Bahkan, kami sebelum ini sudah berkawan lama dan kenal rapat.

“Pada saya, tidak ada masalah untuk sama-sama bekerja dan membantu mencari rezeki dalam industri seni. Kebetulan saya juga meminati suara Ella, dapat bekerja dengan kakaknya pun rasa cukup terharu,” luahnya yang mula bergelar penyanyi sejak 18 tahun lalu.

Keputusannya untuk mempunyai pengurus tidak dipengaruhi oleh sesiapa, malah menurut Azharina, kesibukannya menguruskan anak dan perniagaan antara penyebab utama dia bertindak sedemikian.

Jelasnya lagi, walaupun ada yang berpendapat bahawa namanya sudah kukuh dalam industri seni dan mampu bergerak sendiri, hakikatnya Azharina masih memerlukan bantuan seseorang agar tidak timbul masalah pada masa akan datang.

“Jojie ada ramai kenalan dan mampu membantu mempertingkatkan kerjaya nyanyian saya. Menggunakan kelebihan yang Jojie ada, insya-Allah saya masih relevan di dalam industri tempatan.

“Selain bergelar penghibur, saya juga seorang ibu dan mempunyai perniagaan yang memerlukan fokus. Justeru, mungkin sudah sampai satu peringkat saya sudah tidak mampu menampung semuanya sendiri. Maka saya rasa sudah tiba masanya untuk ada pengurus,” ujarnya.

Jojie tak kecil hati

MESKIPUN sudah tidak menguruskan karier seni adiknya, Jojie menegaskan hubungan mereka masih baik dan tidak timbul isu berkecil hati.

Malah, keputusan untuk membawa haluan masing-masing sudah dipersetujui setelah kedua-dua mereka mendirikan rumah tangga sejak beberapa tahun lalu.

“Kami dah janji dulu, bila dah kahwin nak tumpu pada suami dan Ella pun ada menyuarakan hasrat untuk diuruskan oleh suaminya sendiri.

“Saya menghormati permintaannya dan faham kerana tanggungjawabnya kini sudah berada di bawah suaminya. Saya harap tidak ada timbul sebarang isu selepas ini.

“Kami tidak bergaduh dan bermasam muka. Malah, tiada istilah kecil hati seperti yang dihebohkan beberapa pihak sebaik sahaja mengetahui saya sudah tidak bergelar pengurus Ella,” jelasnya.

Tentang keterbukaannya untuk menguruskan Azharina, kata Jojie, ‘lamaran’ itu diterima atas sebab meminati wanita yang digelar Ratu Soul itu.

“Saya salah seorang peminatnya. Rasa sayang kalau tidak mencuri peluang untuk bekerja dengan dia, malah saya sayangkan bakat yang dia ada.

“Walaupun dulu saya ada terdetik tak mahu lagi melibatkan diri dalam industri seni dan mahu menumpukan kepada perniagaan, tetapi semuanya berubah apabila Azharina sendiri yang memberikan tawaran itu.

“Insya-Allah, sepanjang tahun ini sudah ada beberapa rencana yang diatur termasuk merakamkan single terbaharu, peluang untuk menembusi pasaran luar dan banyak lagi,” akhirinya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×