KUALA LUMPUR 24 Feb. – Sekurang-kurangnya 1,000 penyokong menghadiri acara EPL@Utusan membabitkan perlawanan antara Liverpool dan Manchester United yang berlangsung dengan penuh meriah.
Acara EPL@Utusan adalah acara kali keempat seumpamanya dianjur oleh akhbar ini sejak 2017 dengan format unik iaitu ‘tonton percuma sambil berpeluang memenangi cabutan bertuah’.
Pengerusi jawatankuasa penganjuran, Johardy Ibrahim berkata, pengumuman untuk menyertai acara ini telah diuar-uarkan sejak awal Februari dan pihaknya menerima sambutan yang luar biasa daripada penyokong kedua-dua kelab elit liga Inggeris tersebut.
“Sambutan untuk tahun ini sungguh luar biasa memandangkan mereka disajikan disajikan dengan tayangan pada paparan LED gergasi untuk merasai suasana siaran langsung bagaikan di Old Trafford.
“Perlawanan ini menjadi lebih menarik kerana prestasi Manchester United sekarang ini sedang memuncak, yang meyakinkan para penyokongnya dapat mengatasi Liverpool yang seperti kehilangan enjin kebelakangan ini,” katanya, di sini hari ini.
Johardy yang juga Pengarang Berita Kanan berkata, hadiah-hadiah menarik disediakan oleh barisan syarikat yang telah sekian lama menjadi rakan mesra kepada Utusan Malaysia.
Sementara itu, penyokong yang datang ke program EPL@Utusan Aidil Azman, 28, berkata, ini merupakan kali kedua dia menyertai program berkenaan dan cukup teruja untuk menyasikkannya secara beramai-ramai dengan penyokong kelab kegemarannya pada hari ini.
“Saya cukup teruja dapat saksikan bersama-sama dengan penyokong Liverpool dalam keadaan kondusif dan selesa. Jadi, apabila ada program seperti ini pada tahun ini, saya sungguh gembira,” ujarnya.
Manakala Nur Afifah Ali, 31, berkata, dia pergi ke acara ini kerana menemani suaminya selain meminati dua kelab Inggeris berkenaan.
“Saya memang peminat MU dan suami saya Liverpool, jadi kita buat keputusan untuk sama-sama menyertai program ini.
“Saya dapat tahu acara ini menerusi kawan-kawan kami sebab katanya akhbar Utusan menyediakan cabutan bertuah dan hadiah-hadiah yang menarik,” katanya. – UTUSAN ONLINE










