SHAH ALAM – Barisan Nasional (BN) seolah-olah semain terdesak untuk mendapatkan sokongan rakyat khususnya orang Melayu sehingga sanggup memainkan sentimen agama dan kaum untuk memecah-belahkan masyarakat berbilang kaum.
Perkara itu ditegaskan Setiausaha Politik Perdana Menteri, Abu Bakar Yahya yang merujuk kepada kenyataan Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Lokman Noor Adam menerusi siaran video menerusi laman Facebook pada 2 Februari lalu yang menghina Tun Dr. Mahathir Mohamad.
Menurut beliau, kenyataan Lokman itu dilihat dibuat secara membuta-tuli, sangkaan jahat selain tanpa berlandaskan fakta sebenar yang seolah-olah mahu mengelirukan rakyat melalui fitnah terhadap Perdana Menteri itu.
“Kalau dilihat menerusi video dalam Facebook itu, Lokman menuduh Perdana Menteri kononnya mengikut telunjuk DAP yang biadab dengan raja-raja Melayu selain memanipulasikan isu pembatalan pembinaan masjid sehinggalah mempertikaikan peruntukan sekolah agama dan tahfiz.
“Bagi saya, kenyataan beliau (Lokman) ini amat keterlaluan, seolah-olah cuba menyemai kebencian rakyat terhadap kerajaan dan Perdana Menteri.
“Kalau pun beliau (Lokman) mahu mempertahankan bosnya (Datuk Seri Najib Tun Razak) yang telah dihadapkan ke mahkamah atas pelbagai tuduhan rasuah dan penggubahan wang haram, namun tidak perlulah beliau cuba memfitnah serta mencerca orang lain dengan cerita-cerita perkauman atas nama Islam.
“Kita ini kalau mahu berpolitik pun, ada batas, adab dan tatasusilanya apatah lagi kita ini orang Melayu dan beragama Islam. Sesungguhnya rakyat ketika ini sudah pandai menilai sesuatu perkara,” tegasnya.
Dalam pada itu, Abu Bakar yang juga Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu itu turut menyifatkan Lokman sebagai pemimpin yang yang dangkal kerana gagal memahami sindiran Mahathir di sebalik kerjasama UMNO dengan Pas yang mungkin dianggap tidak mempunyai hala tuju yang jelas melainkan hanya untuk memburu kuasa semata-mata.
“Pas sebelum ini melabelkan UMNO itu sebagai ‘parti kafir’ sehingga menyebabkan orang Melayu berpecah-belah sejak sekian lama atas nama Islam. Apakah Lokman mahu mengulangi pendekatan yang pernah digunakan oleh Pas dengan mendendangkan ‘lagu’ perkauman atas nama agama?,” soal beliau.










