KUALA TERENGGANU 1 Feb. – Terengganu FC (TFC) sudah di ambang kekalahan ketika membuka tirai Liga Super 2019, namun jaringan Abdul Malik Mat Ariff, seminit sebelum tamat permainan menyelamatkan Penyu daripada dimalukan di depan penyokong sendiri selepas seri 1-1 dengan PKNS FC hari ini.
Pasukan pelawat, yang sememangnya memiliki rekod baik ke atas Terengganu memulakan permainan dengan keyakinan tinggi, dan membuka jaringan pada minit ke-65 menerusi Nicholas Ryan Swirad.
Ketika keadaan cukup cemas di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Abdul Malik memastikan tuan rumah mengutip sekurang-kurangnya satu mata berharga.
Biarpun bermula garang sejak awal permainan, namun ketiadaan penyudah yang baik menyebabkan skuad Penyu bimbingan Irfan Bakti Abu Salim sukar menembusi gawang lawn.
Bintang import baharunya, Sanjar Shaakhmedov memperoleh peluang untuk menjaringkan gol pada minit kelima, namun percubaan pemain tengah itu gagal menerjah gawang lawan.
Tuan rumah terus menggandakan jaringan pada minit ke-10 menerusi Mohd. Khairul Izuan Rosli disusuli Kipre Tchetche tiga minit kemudian dan Chanthaceary Bin (minit ke-19) serta di minit ke-37 tetapi tidak mampu menembusi benteng ampuh anak didik K. Rajagobal.
Penyu tidak memiliki rekod baik menentang PKNS FC musim lalu apabila seri di tempat sendiri dan kalah di laman lawan. – UTUSAN ONLINE











