Abdul Hadi elak media - Utusan Malaysia

Abdul Hadi elak media

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KEMAMAN 16 Feb. – Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang mengelak daripada menjawab soalan media berhubung dakwaan Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Tun Dr. Mahathir Mohamad yang Pas tidak akan menyokong UMNO dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Semenyih.

Sebaik sahaja dihampiri pemberita selepas selesai menyampaikan ucapan penutup dalam Ijtimak Siber di Dewan Berlian, Majlis Perbandaran Kemaman (MPK) di sini hari ini, Abdul Hadi yang diiringi beberapa pengawal terus bergegas menuju ke kereta dan beredar.

Turut berada bersamanya dalam kenderaan ialah Setiausaha Politiknya, Syahir Sulaiman.

Situasi ini berbeza berbanding program yang dihadirinya semalam apabila tiada sebarang kawalan ketat daripada pengawal di Majlis Sambutan Tahun Baharu Cina Peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN) Alur Limbat di Dewan Taman Padang Midin, Kuala Terengganu.

Abdul Hadi yang juga Ahli Parlimen Marang mengadakan pertemuan buat kali kedua dengan Dr. Mahathir di Yayasan Al-Bukhari, ibu negara semalam.

Dalam pertemuan itu, Dr. Mahathir mendakwa terdapat pengakuan secara tertulis kononnya Pas tidak akan menyokong UMNO.

Sedangkan, Abdul Hadi menjelaskan yang pertemuan semalam adalah bagi membincangkan penyelarasan pentadbiran antara kerajaan negeri dengan Persekutuan.

Katanya, perbincangan turut menyentuh mengenai royalti petroleum, Majlis Tindakan Ekonomi (MTE) dan projek-projek Kerajaan Persekutuan dan negeri agar tidak wujud sebarang percanggahan.

Bagaimanapun beberapa pemimpin Pas tetap hadir ke Pusat Penamaan Calon PRK DUN Semenyih pagi tadi dan dilihat menyokong calon UMNO. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN