Aaliyah cabar jagoan dunia - Utusan Malaysia

Aaliyah cabar jagoan dunia

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 21 Feb. – Ratu luncur air Malaysia, Aaliyah Yoong Hanifah akan membuat penampilan ketujuh dalam kejohanan Moomba Masters 2019 yang dijadualkan dari 6 hingga 11 Mac ini di Melbourne, Australia.

Dalam kenyataan hari ini, atlet berusia 15 tahun itu dijadualkan mengambil bahagian dalam kategori remaja serta pro-wanita yang bakal menyaksikan dia bersaing dengan bekas juara dunia seperti Erika Lang dan Anna Gay dari Amerika Syarikat; Neilly Ross dan Whitney McClintock (Kanada) serta Natallia Berkikava (Belarus).

Dalam kategori remaja, Aaliyah yang merupakan pilihan kedua bagi acara girls tricks, pilihan keempat girls jump dan ke-12 dalam girls slalom berhasrat menaiki podium dalam dua disiplin jump serta keseluruhan selepas menamatkan acara girls tricks di tempat kedua pada 2014 dan 2015 serta di tangga ketiga pada 2017.

Jurulatih luncur air kebangsaan yang juga ayah gadis itu, Hanifah Yoong Yin Fah berkata, Aaliyah menunjukkan peningkatan dalam disiplin yang disertainya semasa latihan namun berdepan cabaran membahagikan masa di antara persekolahan dan sukan.

Ini kerana katanya Aaliyah bakal menduduki peperiksaan Sijil Am Pendidikan Menengah Antarabangsa (IGCSE) tahun ini.

“Aaliyah bertambah baik dalam tiga disiplin iaitu tricks, slalom dan jump semasa latihan, terutamanya jump yang akan meletakan beliau pada kedudukan baik untuk dua peluang menaiki podium bagi kejohanan dunia selain tricks pada tahun-tahun akan datang.

“Sasaran terdekat beliau ialah muncul juara dunia remaja pada 2020 namun Aaliyah perlu mengimbangi karier luncur air dan persekolahan tahun ini,” katanya dipetik berkata dalam kenyataan itu.

Sementara itu, Aaliyah mengakui tahun ini bakal memberi cabaran hebat baginya.

“Saya akan cuba untuk tidak menjejaskan pengajian saya kerana sukan dan akan berusaha keras untuk kedua-duanya. Saya tidak bersendirian dalam hal ini kerana ramai atlet muda yang meningkat naik juga melalui fasa peperiksaan penting di sekolah,” katanya.

Sebagai acara pemanas badan, Aaliyah akan menyertai Kejohanan Oceania 2019 pada 2-3 Mac ini bersama-sama adik beradiknya Aiden dan Adam. – BERNAMA

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN