60 operasi JTK hingga Oktober - Utusan Malaysia

60 operasi JTK hingga Oktober

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU 4 Feb. – Jabatan Tenaga Kerja (JTK) Johor sedang dan akan melakukan 60 operasi penguatkuasaan bersepadu di negeri ini bermula dari bulan lalu hingga Oktober ini.

Pengarah JTK negeri, Yusoff Harun berkata, operasi itu akan dilakukan secara berperingkat-peringkat bagi mengesan majikan yang melanggar undang-undang perburuhan.

“Sebanyak 10 operasi peringkat negeri dan 50 operasi peringkat daerah akan dilakukan secara berterusan melibatkan beberapa sektor bagi memastikan undang-undang perburuhan dipatuhi.

“Antaranya sektor peruncitan, pembinaan, pembuatan termasuk Agensi Pekerjaan Swasta yang berlesen dan juga yang beroperasi secara haram,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Katanya, majikan perlu sentiasa mematuhi undang-undang perburuhan sedia ada terutama perintah gaji pokok dibayar RM1,100 sebulan yang berkuatkuasa 1 Januari lalu.

Dalam pada itu, katanya, menerusi operasi terbaharu pada 16 Januari lalu pihaknya me­lakukan pemeriksaan secara menyeluruh di ladang sekitar daerah Kluang.

Beliau memberitahu, seramai 72 majikan di 20 buah ladang diperiksa dan hasilnya terdapat 30 perlanggaran bawah Akta Kerja 1955 dan Akta Standard-standard Minimum Perumahan dan Kemudahan Pekerja 1990 berjaya dikesan.

Sementara itu, Yusoff berkata, sepanjang tahun lalu, 10 operasi penguatkuasaan bersepadu JTK dan pemeriksaan berkanun terhadap 6,435 majikan dijalankan di seluruh Johor yang disertai pegawai dari lima JTK cawangan.

“Tujuan utama operasi penguatkuasaan bersepadu ini bagi mengesan kesalahan di bawah undang-undang buruh yang dilakukan majikan dalam sektor swasta seperti Akta Kerja 1955, Akta Majlis Perundingan Gaji Negara 2011, Akta Kanak-Kanak dan Orang Muda (Pekerjaan) 1966, Akta Umur Persaraan Minimum 2012, Akta Pampasan Pekerja 1952 dan juga lain-lain Akta yang dikuatkuasakan JTK,” katanya.

Menurutnya, pihaknya mengambil beberapa tindakan penguatkuasaan melibatkan pemberian sebanyak 1,211 notis pematuhan dikeluarkan.

Selain itu, 281 kertas siasatan dibuka melibatkan 116 kompaun berjumlah RM90,000 dan 86 kes pendakwaan di mahkamah de­ngan jumlah keseluruhan denda RM57,750 sudah dikenakan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN