JOHOR BAHRU 26 Feb. – Sebanyak 57 kakitangan Politeknik Metro Johor Bahru (PMJB) di sini hari ini melafaz dan menandatangani Ikrar Bebas Rasuah (IBR) sebagai tanda komitmen membasmi dan tidak akan terlibat dengan gejala rasuah.
Lafaz ikrar itu dilakukan di PMJB sambil disaksikan Pengarah Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) negeri, Datuk Azmi Alias dan Pengarah PMJB, Azirin Abdul Aziz.
Tujuan utamanya supaya PMJB sentiasa menitikberatkan urus-tadbir yang berintegriti dan beretika dari peringkat pentadbiran, pensyarah hingga kepada pelajar.
Menurut Azirin, keterbukaan dan sifat kebertanggungjawaban yang dipamerkan oleh para kepimpinan dan warga PMJB dalam menandatangani IBR membuktikan usaha membanteras dan
memerangi rasuah bukan tanggungjawab eksklusif SPRM semata-mata.
“Sebaliknya merupakan amanah dan tugas yang perlu dikongsi seluruh ahli PMJB bagi memastikan negara ini bebas sebarang gejala rasuah dan salah guna kuasa,” katanya ketika ketika ditemui pemberita.
Sementara itu, Azmi berkata, setiap pelakuan sama ada memberi atau menerima rasuah bukan sahaja akan memberi kesan yang mendalam terhadap individu yang terlibat malah kepada ahli
keluarga dan rakan di sekelilingnya.
Justeru beliau turut memberi nasihat kepada semua staf PMJB yang hadir agar tidak terjebak dalam kancah rasuah. – UTUSAN ONLINE










