SEPANG 17 Feb. – Sebanyak 47 rakyat Malaysia menjadi tahanan Penjara Provinsi Banteay Meanchey di Kemboja dijangka pulang ke tanah air hari ini.
Menurut kenyataan Unit Komunikasi Awan Kerajaan Negeri Sarawak, 43 individu berasal dari Sabah dan Sarawak terlibat dijangka menaiki pesawat sewa khas yang berlepas dari Siem Reap ke Kuching pada pagi ini.
Sementara itu, empat lagi mangsa dari Selangor dan Kuala Lumpur pula menaiki penerbangan AirAsia AK543 dan tiba di KLIA2 pada pukul 11.45 pagi ini.

Kepulangan mereka itu ke Kuala Lumpur itu bakal disambut Ketua Setiausaha Kementerian Luar, Datuk Seri Muhammad Sharul Ikram Yaakob.
Wisma Putra sebelum ini mengesahkan laporan penahanan 47 rakyat Malaysia itu di Poi Pet sejak 11 Disember lalu atas pertuduhan menipu, membuka dan menjalankan aktiviti perjudian dalam talian secara haram.
Dikatakan kesemua mereka ditahan di negara tersebut setelah terpesona dengan janji manis berupa gaji lumayan yang dipercayai didalangi sindiket pemerdagangan manusia dari China.
Daripada 47 mangsa yang ditahan, 44 tahanan berasal dari Sarawak dan mereka disyaki menjadi mangsa sindiket pemerdagangan manusia yang memperdaya mangsa dengan gaji lumayan jika bersetuju bekerja di Kemboja dengan bayaran wang pendahuluan antara AS$100 (RM407) hingga AS$200 (RM814) seorang. – UTUSAN ONLINE










