RIO DE JANEIRO 22 Feb. – Seramai 26 ditahan, 47 pesawat dirampas.
Demikian kejayaan melumpuhkan rangkaian besar penyeludupan dadah melibatkan sembilan tan kokain antara 2017 dan 2018 yang diumumkan oleh polis Brazil dalam operasi baru-baru ini.
Polis Persekutuan dalam satu kenyataan memaklumkan, seramai 400 pegawai terlibat dalam operasi yang dijalankan di bahagian utara Tocantins.
“Pihak berkuasa juga cuba untuk menyekat akaun ‘sekitar 100 orang dan perniagaan’ serta merampas 47 pesawat dan menyita 13 ladang yang memiliki lebih 10,000 ekor lembu.
“Dadah yang dibawa menggunakan pesawat dari Bolivia, Colombia atau Venezuela ke Brazil, Eropah dan Amerika Syarikat,” jelas kenyataan itu.
Penyiasatan kes itu bermula dua tahun lalu, mengesan sekurang-kurangnya 23 penerbangan yang membawa secara purata 400 kilogram kokain menjadikan keseluruhannya dadah lebih sembilan tan.
Selain pihak polis, Agensi Penguatkuasaan Dadah Amerika Syarikat (DEA) dan Agensi Antikeganasan Surinam (CTIU) juga terlibat dalam siasatan tersebut.
Dalam pada itu, sumber polis memberitahu, sebahagian ladang yang disita mempunyai landasan pendaratan.
“Pihak berkuasa juga memohon seramai enam suspek diletakkan dalam senarai dikehendaki Interpol,” jelas kenyataan tersebut. – AFP










