KUANTAN 25 Feb. – Program Kebajikan dan Khidmat Imigran (PKKI) anjuran Pertubuhan Kebajikan Kemanusiaan Antarabangsa (Peka) terus mendapat sambutan menggalakkan daripada warga asing di negara ini sejak dilancarkan pada Julai tahun lalu.

Presiden Peka, Datuk Zuhairi Ab. Kadir berkata, setiap hari, pasti ada warga asing yang mengunjungi pejabat Peka bagi menjadi peserta program berkenaan dan sehingga kini, terdapat 37,200 peserta yang berdaftar dengan PKKI.
Katanya, Peka sentiasa mengalu-alukan warga asing sama ada yang telah lama berada di negara ini atau yang baharu menjejakkan kaki ke sini untuk berdaftar di bawah program itu.
“Warga asing terutamanya yang baharu menjejakkan kaki ke negara ini tidak perlu khuatir tentang isu kebajikan dan hak kemanusiaan kerana menerusi program Peka, mereka akan mendapat khidmat guaman selain tiap-tiap aduan penganiayaan akan Peka laporkan supaya diambil tindakan oleh pihak berkuasa.
“Lebih penting, warga asing terlibat dilindungi insurans bagi rawatan penyakit, kemalangan serta kematian. Masih ramai majikan yang tidak sedar betapa sukar menguruskan jenazah mereka jika berlaku kematian,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Zuhairi berkata, Peka menasihatkan warga asing supaya lebih berhati-hati dengan tawaran pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang tidak berdaftar atau menggunakan nama program kebajikan yang tidak memberi apa-apa faedah.
Jelasnya, warga asing boleh mendapatkan pengesahan dari Peka terlebih dahulu bagi mengelakkan menjadi mangsa penipuan.
“PKKI merupakan inisiatif Peka dalam membantu warga asing dari ditipu sindiket tidak berdaftar di negara ini yang menawarkan khidmat pengurusan dokumentasi tetapi memberikan yang palsu dan caj mahal.
“Peka akan terus melakukan penambahbaikan dalam usaha memastikan PKKI dapat memberikan pembelaan sewajarnya kepada warga asing yang menyertainya,” katanya.
Jelasnya, warga asing yang berminat dan memerlukan khidmat Peka boleh menghubungi talian 010-2999949 atau 010-2990909 bagi pertanyaan lanjut serta pendaftaran program berkenaan. – UTUSAN ONLINE.










