3 lelaki bersaudara Geng Debab tumpas - Utusan Malaysia

3 lelaki bersaudara Geng Debab tumpas

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEGAMAT 24 Feb. – Polis berjaya menumpaskan kumpulan curi motosikal dikenali sebagai Geng Debab Empat Stroke dalam beberapa siri serbuan di sekitar bandar ini baru-baru ini.

Ketua Polis Daerah Segamat, Superintenden Raub Selamat berkata, kumpulan terbabit yang bergiat aktif sejak dua tahun lalu akhirnya lumpuh dengan penahanan tiga lelaki bersaudara berumur lingkungan 18 hingga 25 tahun.

Katanya, tangkapan dua suspek pertama berumur 18 hingga 25 tahun merupakan adik-beradik ditahan pada 16 Februari lalu di rumah mereka di sekitar daerah ini.

“Susulan daripada tangkapan pertama, kita telah menahan seorang lagi suspek yang merupakan ipar kepada kedua-dua beradik terbabit,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Raub menambah, siasatan mendapati kumpulan itu didalangi oleh suspek berusia 25 tahun berikutan mempunyai kepakaran dalam merungkai dan membaiki komponen motosikal.

“Menerusi soal siasat keatas suspek juga, kita berjaya menemui 24 rangka motorsikal, dua buah motosikal yang masih elok dan tiga lagi komponen enjin yang tidak sempat dileraikan.

“Suspek utama turut berbadan debab selain menyasarkan motosikal empat lejang (empat stroke) antaranya Honda EX5, manakala lokasi untuk meleraikan komponen motosikal terletak di berdekatan kediaman suspek utama,” katanya.

Beliau memberitahu, polis mengesyaki setiap enjin yang dicuri akan dijual sebagai alat ganti berharga di antara RM350 sehingga RM400 bagi mereka yang berminat di pasaran gelap.

“Kita juga menganggarkan nilai kerugian menerusi hasil penemuan motosikal-motosikal ini mencecah RM90,000.

“Kesemua bahan bukti ini ditemui di 11 lokasi berbeza di sungai, lombong, dan parit apabila dibuang di Kampung Tengah, Kampung Kuari, Kampung Jawa dan Bandar Putra.

“Selain itu, ada juga rangka motosikal yang ditemukan pada dahan pokok ekoran tindakan suspek mahu membuang bahan bukti ini di kawasan lebih rendah, namun tersangkut di situ,” katanya.

Menurutnya, kesemua suspek ditahan reman bermua 17 Februari lalu bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 379A Kanun Keseksaan. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN