231 bayi di Terengganu tidak disuntik vaksin sepanjang 2018 - Utusan Malaysia

231 bayi di Terengganu tidak disuntik vaksin sepanjang 2018

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA TERENGGANU – Sejumlah 231 bayi di Terengganu dikesan tidak menerima suntikan vaksin ekoran tidak mendapat kebenaran daripada ibu bapa mereka sepanjang tahun lepas, kata Pengarah Kesihatan Negeri Terengganu, Dr. Mohd. Jusoh.

Beliau berkata, jumlah itu mencatat sedikit peningkatan berbanding 191 bayi tidak disuntik vaksin pada tahun 2017.

“Daripada 231 bayi itu, 228 adalah berbangsa Melayu dan kebanyakan ibu yang menolak suntikan vaksin ini ialah suri rumah iaitu seramai 158 orang.

Jumlah ini dikesan kerana mereka hadir ke klinik kesihatan berhampiran untuk membuat pemeriksaan biasa seperti menimbang berat bayi, mengukur ketinggian atau perkembangan semasa bayi, malangnya mereka menolak untuk bayi disuntik vaksin,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan sambutan Hari Kesedaran Kanser peringkat negeri di sini hari ini.

Beliau juga tidak menolak kemungkinan terdapat lebih ramai bayi yang tidak menerima suntikan vaksin di Terengganu kerana data yang diperoleh hanya daripada ibu bapa yang datang ke klinik kesihatan milik kerajaan sahaja.

Dr. Mohd. berkata, walaupun jumlah ibu bapa yang menolak vaksin itu sangat kecil berbanding kelahiran purata 25,000 bayi setiap tahun di Terengganu, jabatan tetap memandang serius perkara itu.

“Kebanyakan ibu bapa menolak vaksin kerana tidak yakin dengan status halal dan keselamatan vaksin sedangkan perkara itu sudah dijelaskan Kementerian Kesihatan bahawa vaksin yang digunakan adalah halal dan selamat,” katanya. – Bernama

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN