BANGKOK 21 Feb. – Pihak berkuasa Thailand dalam usahanya melumpuhkan kegiatan pengedaran dadah di negara ini menahan 23,000 orang suspek dan merampas 247 juta pil ‘Yaba’ dan 3.455 tan ‘Ice’ (Crystal Methamphetamine) yang bernilai berbilion bhat dalam tempoh tiga bulan.
Dalam satu kenyataan, jurucakap Kementerian Pertahanan, Leftenan Jeneral Kongcheep Tantravanich berkata, operasi bersama pelbagai pihak berkuasa Thailand dan di sempadan juga telah merampas 800 kilogram heroin dan sembilan tan ganja bagi tempoh November hingga Januari tahun ini.
“Daripada 23,000 orang itu, kira-kira 6,000 telah dihantar untuk rawatan dan pemulihan dadah,” katanya hari ini.
Sementara itu Kongcheep berkata, penggunaan dadah dalam kalangan remaja di wilayah sempadan selatan kini semakin meningkat.
Katanya, kira-kira dua juta pil ‘Yaba’ telah dirampas dalam tempoh yang sama (November-Januari).
“Adalah dipercayai pengedar dadah kecil-kecilan mengedarkan dadah berkenaan, dalam kalangan remaja di kawasan tersebut,” katanya.
Kongcheep berkata, kira-kira 5,000 suspek, termasuk kakitangan awam dan pegawai pentadbiran tempatan telah ditangkap di wilayah sempadan selatan atas penyalahgunaan dadah. – BERNAMA











