200 lot kedai musnah terbakar - Utusan Malaysia

200 lot kedai musnah terbakar

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 2 Feb. – Lebih 145 peniaga di bazar larut malam Uptown Puchong Permai dekat sini hilang mata pencarian apabila kedai mereka musnah dalam kebakaran awal pagi ini.

Ketika kejadian, kebanyakan peniaga baru menutup kedai namun mereka tidak sempat berbuat apa-apa kerana api begitu marak dan merebak dengan pantas, namun tiada kemala­ngan jiwa dilaporkan dalam kejadian bermula kira-kira pukul 7.15 pagi itu.

Timbalan Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor, Norizham Mohd. Nudin berkata, 40 pegawai serta anggota bersama enam jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat Puchong, Serdang, Kota Anggerik dan Petaling Jaya dikerah ke lokasi selepas pihaknya menerima panggilan kecemasan pada pukul 7.58 pagi.

“Kebakaran dapat dikawal kira-kira sejam kemudian dan siasatan awal mendapati api bermula dari bahagian tengah kawasan bazar,” katanya dalam sidang akhbar di lokasi kejadian.

Tambah Norizham, seba­nyak 200 lot kedai musnah 100 peratus dalam kejadian itu, dan siasatan lanjut masih dijalankan bagi mengetahui punca kebakaran.

Sementara itu, Pegawai Operasi Pentadbiran bazar berkenaan, Abdul Rahim Shah berkata kebanyakan peniaga di situ mula berniaga pada tahun 2011 dengan setiap lot disewakan pada kadar RM300 sebulan dan bazar dibuka setiap hari bermula pukul 8.30 malam hingga 1 pagi.

“Pelbagai jenis perniagaan dijalankan di bazar ini dan dianggarkan kerugian yang ditanggung oleh peniaga mence­cah RM1 juta,” ujarnya.

Dalam pada itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seri Serdang, Dr. Siti Mariah Mahmud selepas meninjau kawasan kebakaran berkata, bazar terbabit didapati tidak mempunyai kelulusan kebenaran merancang (KM) oleh Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ).

“Kami akan bawa ke peringkat negeri dan seterusnya akan cuba memberi bantuan kepada peniaga terlibat untuk mulakan se­mula perniagaan dengan mencari tapak sementara melalui perbincangan dengan MPSJ,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN