KUALA LUMPUR – Bekas Pengarah Urusan syarikat pelaburan Goldman Sachs, Roger Ng yang disiasat berhubung 1Malaysia Development Berhad (1MDB) akan diekstradisi ke Amerika Syarikat (AS) untuk didakwa.
Hakim Mahkamah Sesyen M.M Edwin Paramjothy membenarkan Roger Ng diekstradisi dalam tempoh 30 hari selepas Roger Ng atau nama sebenarnya Ng Chong Hwa, 47, selaku responden yang kini direman di bawah Akta Ekstradisi 1992 (Akta 476) bersetuju untuk dihantar ke negara tersebut.
Dalam penghakimannya sebentar tadi, Paramjothy berkata, mahkamah membuat keputusan itu selepas berpuas hati dengan persetujuan responden untuk kembali ke AS selepas dinasihatkan.
Terdahulu, peguam Datuk Tan Hock Chuan yang mewakili Roger Ng semasa berhujah berkata, anak guamnya secara sukarela untuk ke negara itu kerana ingin mempertahan kesnya yang akan didengar di mahkamah di Eastern District di New York selain telah mencapai satu persetujuan ikat jamin dan terma lain dengan Jabatan Keadilan (DOJ) di negara tersebut.
Sementara itu Timbalan Pendakwa Raya Faizul Aswad Masri ketika ditemui selepas prosiding berkata, Roger Ng akan ditempatkan di penjara Sungai Buloh sementara menunggu urusan penghantarannya ke AS.
Pada 7 Januari lalu, Mahkamah Sesyen sama menolak permohonan Roger Ng untuk dibebaskan dengan jaminan sementara permohonan pendakwaan untuk mengekstradisinya ke Amerika Syarikat didengar.
Ketika prosiding itu, Paramjothy menolak permohonan Roger Ng selepas mendapati beliau berisiko untuk melarikan diri.
Roger Ng memohon dibenarkan diikat jamin selepas majistret memerintahkannya direman 60 hari bagi proses prosiding ekstradisi membabitkan permohonan AS berikutan dia menghadapi tiga pertuduhan di mahkamah di New York. – K! ONLINE










