KUALA LUMPUR 25 Feb. – Sehingga semalam, sebanyak 14,912 majikan telah mendaftarkan 169,968 pekerja asing masing-masing di bawah Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso).
Ia susulan pengumuman Kementerian Sumber Manusia pada Disember lalu yang mewajibkan pihak majikan membuat caruman untuk sejumlah 1.8 juta pekerja asing di negara ini bermula 1 Januari lalu.
Ketua Eksekutif Perkeso, Datuk Seri Dr. Mohammed Azman Aziz Mohammed berkata, pekerja asing yang masih dilindungi oleh insurans swasta tidak perlu mendaftar dengan Perkeso dan perlu berbuat demikian apabila insurans tersebut tamat tempoh.
“Kebanyakan pekerja asing dilindungi oleh insurans Skim Pampasan Pekerja Asing sebelum ini dan mereka diwajibkan untuk daftar dengan Perkeso apabila skim ini tamat tempoh selewat-lewatnya Disember tahun ini.
“Walau bagaimanapun, mereka hanya dilindungi Skim Insuran Bencana Pekerjaan dan tidak dilindungi Skim Keilatan seperti pekerja tempatan yang dilindungi kedua-dua skim tersebut,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini. – UTUSAN ONLINE










