16 kes tipu dalam talian akibatkan kerugian lebih RM99,000 - Utusan Malaysia

16 kes tipu dalam talian akibatkan kerugian lebih RM99,000

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PORT DICKSON 21 Feb. – Polis daerah ini menyeru orang ramai supaya berhati-hati dengan aktiviti penipuan secara dalam talian yang telah mengakibatkan kerugian sebanyak RM99,533 di Port Dickson sejak Januari lalu.

Ketua Polis daerah, Superintenden Aidi Sham Mohamed berkata, penipuan itu termasuk melibatkan penjualan dan pembelian barangan dan tawaran pakej pelancongan yang tidak wujud dalam media sosial dan laman jualan.

“Bermula Januari lalu sebanyak 16 laporan telah dilaporkan dan disiasat polis. Ia melibatkan kes penipuan pembelian secara dalam talian, penipuan pakej pelancongan dan lain-lain kes. Jumlah kerugian keseluruhan RM99,533.06,” katanya dalam satu kenyataan media di sini hari ini.

Memuatkan artikel berkaitan…

Aidi Sham berkata, dalam kes terbaharu seorang wanita di sini membuat laporan polis dia terpedaya dalam urusan pakej pelancongan daripada syarikat yang hanya diketahuinya melalui Facebook.

Menurut beliau, mangsa tertarik dengan pakej pelancongan ke Eropah pada harga murah menyebabkan dia dan dua rakannya membuat sembilan transaksi bayaran berjumlah RM12,280 ke dalam akaun syarikat tersebut.

“Bagaimanapun wanita itu akhirnya mengetahui bahawa syarikat berkenaan telah ditutup,” katanya.

Beliau berkata, polis Port Dickson mengemukakan beberapa panduan pencegahan bagi mengelakkan orang ramai daripada menjadi mangsa kes penipuan dalam talian.

Ujarnya, ini termasuk mendapatkan pengesahan identiti penjual sebelum menjalankan urusan penbelian dan mengetahui maklumat penting penjual seperti alamat, nombor telefon dan sebagainya.

Tambahnya, orang ramai diminta membuat semakan nombor akaun penjual dengan memastikan nama pemegang akaun bank sama dengan nama penjual atau syarikat yang menjual.

“Lihat testimoni pembeli lain yang pernah berurusan sama ada melalui komen dalam laman sosial milik atau komen di blog.

“Selain itu, elakkan membeli barang yang dijual oleh individu dengan harga terlalu murah berbanding harga pasaran selain sentiasa simpan bukti seperti e-mel, perbualan dalam laman sosial dan resit pembayaran,” ujarnya.

Jelasnya, Jabatan Siasatan Jenayah Komersial juga ada menyediakan portal untuk membuat semakan di http://ccid.rmp.gov/my/semakmule/. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×