ALOR SETAR – Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Kedah menahan seramai 13 pendatang asing tanpa izin (PATI) dalam operasi Ops Bersepadu yang dilakukan di sekitar bandar ini semalam.
Dalam operasi bermula pukul 6 petang hingga 8.15 malam itu, seramai 52 warga asing pelbagai warganegara telah diperiksa dan 13 daripadanya ditahan kerana melakukan kesalahan imigresen.
Pengarah Imigresen negeri, Zuhair Jamaludin berkata, operasi penguatkuasaan di beberapa unit kediaman dan premis perniagaan termasuk pasar raya itu dilakukan berdasarkan maklumat orang ramai dan hasil risikan JIM.
“Dalam operasi tersebut, kita menahan seramai 13 warga asing terdiri daripada tiga wanita dan seorang kanak-kanak lelaki warga Indonesia, tiga lelaki Bangladesh dan enam lelaki warga India.
“Siasatan awal mendapati mereka yang berusia antara setahun hingga 50 tahun itu telah melakukan kesalahan di bawah Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 (Akta 155) iaitu tidak memiliki sebarang dokumen perjalanan sah serta Seksyen 15(1)(c) akta sama kerana tinggal lebih masa,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Kata beliau, kesemua warga asing terbabit ditahan di lokap bangunan Kementerian Dalam Negeri di sini untuk siasatan dan tindakan lanjut sebelum diserahkan ke Depot Imigresen Belantik di Sik dekat sini. – K! ONLINE










