KUALA LUMPUR 25 Feb. – Penganjuran Liga Sepak Takraw Nasional (LSN) 2019 diilhamkan selepas kejayaan penganjuran Kejohanan Sepak Takraw Utusan yang diadakan selama lapan tahun hasil kerjasama Kumpulan Utusan dan Bolarotan.
Menerusi LSN 2019 yang julung kali diadakan menggunakan format liga penuh, membabitkan penyertaan 12 pasukan negeri bermula 23 Februari lalu hingga 4 Mei ini.
Bertempat di Gelanggang Sepak Takraw Presint 18R8, Putrajaya, Kelab Masyarakat Bolarotan berjaya mengumpulkan 12 pasukan negeri dari seluruh Malaysia yang membariskan pemain berusia 35 tahun ke bawah dan berstatus amatur. LSN turut dijayakan dengan kerjasama Kelab Sepaktakraw Putrajaya Presint 18 yang juga merupakan ahli gabungan Persatuan Sepaktakraw Putrajaya.
Sistem permainan dilaksanakan dalam dua set dengan masa 20 minit bagi setiap set dan mata hanya diperoleh sekiranya pemain memegang servis. Tiada mata penamat, sebaliknya pasukan yang mendahului setelah berakhir 40 minit akan dikira pemenang perlawanan.
“Sistem baru ini diharap akan mendapat perhatian dari Istaf (Persekutuan Sepak Takraw Antarabangsa) bagi membantu penganjuran Sukan Asia, Sukan SEA dan Piala Dunia dengan lebih baik kerana tempoh masa yang tetap,” kata Presiden Bolarotan, Mohsen Amdan menerusi satu kenyataan media di sini, hari ini.
LSN disiarkan secara langsung menerusi laman Facebook Page Liga Sepaktakraw Nasional, Instagram bolarotan_media dan Bolarotan TV di Youtube.










