MELBOURNE 21 Jan. – Pilihan keempat, Alexander Zverev tersingkir mengejut pada pusingan keempat tenis Terbuka Australia hari ini, namun dia mengakui lega kerana dapat menghempas raketnya untuk meluahkan kekecewaan.
Zverev, 21, menghempaskan raket di atas gelanggang sejurus selepas ditunjukkan jalan keluar oleh pilihan ke-16, Miloas Raonic dari Kanada 1-6, 1-6, 6-7 (5/7).
“Ya, ia membuatkan saya rasa lebih bagus. Saya sangat marah, jadi saya melepaskan kemarahan,” katanya kepada pemberita dalam sidang akhbar.
Ketika ditanya, apakah dia pernah melakukan perbuatan sama sebelum ini, bintang muda Jerman itu menjawab: “Kamu tidak pernah menonton perlawanan saya sebelum ini? Lebih baik kamu tonton”.
Sementara itu, dalam saingan wanita, juara Terbuka Amerika Syarikat (AS), Naomi Osaka dari Jepun mara ke suku akhir selepas mengetepikan Anastasija Sevastova dari Latvia 4-6, 6-3, 6-4.
Turut mara pilihan keenam, Elina Svitolina dari Ukraine yang menumpaskan bintang AS, Madison Keys 6-2, 1-6, 6-1 manakala pilihan ketujuh dari Republik Czech, Karolina Pliskova mengecewakan Garbine Muguruza 6-3, 6-1. – AFP











