BAITULMUQADDIS 3 Jan. – Rejim Israel melalui satu pelan yang disifatkan keterlaluan merancang untuk ‘memburukkan’ keadaan banduan Palestin di penjara-penjara di Israel termasuk mengehadkan bekalan air selain mengurangkan jumlah kunjungan ahli keluarga.
Perkara itu diumumkan oleh Menteri Keselamatan Awam Israel, Gilad Erdan yang menegaskan pelan itu akan dikuatkuasakan dalam masa terdekat sebaik sahaja diluluskan oleh Kabinet.
Portal berita al-Jazeera melaporkan, rancangan berkenaan dikritik keras aktivis dan pemimpin Palestin yang menggambarkannya sebagai satu lagi bentuk peningkatan pelanggaran hak asasi manusia oleh rejim Zionis.
Menurut Erdan, pelan itu juga akan menghapuskan hak memasak dan mengehadkan akses banduan menonton televisyen serta menyekat dana daripada pihak berkuasa Palestin.
Jelasnya, lawatan keluarga telah dihentikan untuk banduan yang mempunyai kaitan dengan pergerakan Hamas.
“Rancangan itu termasuk menghalang anggota Knesset (Parlimen Israel) melawat tahanan Palestin,” katanya.
Erdan memberitahu, dasar memisahkan tahanan Hamas dan mereka yang mempunyai kaitan dengan Fatah juga akan ditamatkan kerana ‘pengkelasan’ banduan membuatkan identiti organisasi mereka bertambah kuat.










