PUTRAJAYA 10 Jan. – Sebanyak 1,115 sukarelawan siswa berjaya dilahirkan hasil daripada penubuhan Yayasan Sukarelawan Siswa (YSS) sejak 2012.
Pengerusi YSS, Datuk Zuraidah Atan berkata, kejayaan itu secara tidak langsung menunjukkan pihaknya berada di landasan betul dalam mencapai sasaran bagi menjadikan Malaysia sebagai hab sukarelawan siswa.
Beliau menambah, mandat yang diberikan kerajaan terhadap YSS adalah hasil penganjuran pelbagai program kesukarelawanan di luar dan dalam negara.
“Malah sepanjang tahun lalu, kami telah menganjurkan 618 projek hingga memberi impak positif kepada 16,939 komuniti dan 15,213 pelajar di peringkat tempatan dan antarabangsa.
“Antara program itu ialah Misi Sukarelawan Siswa YSS-ASEAN ke Sarawak pada tahun lalu, telah mendapat pengiktirafan Sekretariat ASEAN dan rakan dialog ASEAN,” katanya ketika berucap dalam Majlis YSS-Stakeholder Day, di sini hari ini.
Pada masa sama, Zuraidah menambah, YSS akan terus memainkan peranannya melalui penganjuran pelbagai misi kemanusiaan di dalam dan luar negara seperti Indonesia, Laos dan Vietnam.
Katanya, usaha YSS dalam mengerakkan projek kesukarelawanan tidak akan berjaya tanpa melibatkan kerjasama pelbagai pihak termasuk badan-badan korporat. – UTUSAN ONLINE







