Ya, itu adalah rayuan saya - Muhyiddin - Utusan Malaysia

Ya, itu adalah rayuan saya – Muhyiddin

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA 14 Jan.- Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengesahkan beliau sendiri yang mengemukakan rayuan agar Datuk Seri Alwi Ibrahim kekal sebagai Ketua Setiausaha kementerian.

Menurut Muhyiddin, beliau mengakui dapat bekerja dengan baik bersama Alwi sejak menerajui Kementerian Dalam Negeri selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) tahun lalu.


“Ya, itu adalah rayuan saya. Saya lihat tiada masalah dengan beliau.


“Saya baharu, jadi memerlukan orang sudah lama untuk bantu di kementerian. Saya ucapkan terima kasih kepada pihak beri kelulusan,” katanya dalam sidang akhbar selepas Majlis Amanat Tahun Baharu 2019
Kementerian Dalam Negeri di sini hari ini.


Alwi sebelum ini dilaporkan dilantik sebagai Ketua Setiausaha Kementerian Kerja Raya yang baharu susulan rombakan besar-besaran jawatan tinggi kerajaan awal bulan ini.


Tempat beliau sepatutnya digantikan oleh Datuk Dr. Mohd. Ghazali Abas yang merupakan Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan.


Mengulas lanjut mengenai pelantikan saat-saat akhir Ketua Pengarah Jabatan Imigresen, Muhyiddin menjelaskan pada kebiasaanya jika kekosongan jawatan agensi dalam kementeriannya, menteri akan diminta untuk mengemukakan cadangan nama.


“Saya tidak tahu ada pegawai lain yang buat apa, jadi keluar nama lain.


“Kemudian bila saya kemukakan nama baharu, barulah mereka bersetuju,” katanya.


Semalam, Kementerian Dalam Negeri mengumumkan Ketua Pengarah Jabatan Imigresen bertukar orang lagi yang tempohnya tidak sampai dua minggu apabila nama Datuk Khairul Dzaimee Daud diumumkan mengetuai agensi penguatkuasaan itu bermula hari ini.


Sebelum ini, Timbalan Ketua Setiausaha (Pengurusan) Kementerian Dalam Negeri, Datuk Jamil Rakon telah dilaporkan dilantik sebagai Ketua Pengarah Jabatan Imigresen yang baharu.


Dengan perkembangan itu, Jamil terus kekal sebagai Timbalan Ketua Setiausaha (Pengurusan) Kementerian Dalam Negeri.


Jawatan Ketua Pengarah Jabatan Imigresen kosong kerana penyandangnya sebelum ini, Datuk Seri Mustafar Ali telah dilantik sebagai Ketua Eksekutif Pusat Jenayah Kewangan Nasional (NFCC) berkuat kuasa 2 Januari lalu.-UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN