WASHINGTON 14 Jan. – White House didakwa meminta Jabatan Pertahanan mengemukakan draf perancangan untuk menyerang Iran selepas serangan di Iraq tahun lalu, menurut laporan Wall Street Journal atau WSJ, semalam.
Laporan itu menjelaskan, tindakan dilakukan selepas serangan mortar dilancarkan kumpulan dikaitkan dengan Iran ke atas kuarters diplomatik Baghdad yang menempatkan Kedutaan Amerika Syarikat (AS).

WSJ melaporkan, Majlis Keselamatan Kebangsaan (NSC) White House bagaimanapun bercadang mengemukakan perancangan tindak balas tegas AS susulan serangan tersebut termasuk pilihan serangan terhadap Iran.
“Ini sudah tentu membimbangkan rakyat. Tidak masuk akal betapa beraninya mereka mahu menyerang Iran,” kata seorang bekas pegawai kanan pentadbiran AS kepada WSJ.
Walaupun Jabatan Pertahanan menyediakan cadangan untuk kemungkinan melancarkan serangan itu, WSJ mendakwa, tidak jelas jika perkara itu diserahkan kepada White House.
Dalam satu mesyuarat NSC, Timbalan Penasihat Keselamatan Kebangsaan ketika itu, Mira Ricardel menyifatkan serangan di Iraq sebagai ‘tindakan perang’.
“Jabatan Pertahanan adalah organisasi yang menyediakan perancangan kepada Presiden mengenai tindakan ketenteraan untuk menghadapi pelbagai ancaman,” kata jurucakap Pentagon, Kolonel Rob Manning.
Beliau memberitahu, tugas Pentagon termasuk menyemak dan mengemaskinikan pelan dan aktiviti menangani siri ancaman termasuk dari Iran, untuk menghalang dan jika perlu, melakukan tindak balas. – AFP










