ALOR SETAR 8 Jan. – PENGARAH Kesihatan negeri, Datuk Dr. Norhizan Ismail meluahkan perasaan kecewa warga kesihatan susulan dicaci seorang waris pesakit melalui satu status dalam Facebook berkaitan perkhidmatan di Hospital Baling, baru-baru ini.

Menerusi hantaran dalam akaun Facebook beliau malam tadi, Dr. Norhizan memberi penjelasan panjang lebar berkaitan situasi yang dihadapi waris berkenaan ketika membawa kakaknya yang berusia 55 tahun ke hospital itu akibat tekanan darah tinggi dan demam.
Jelas Dr. Norhizan, pengadu terbabit membangkitkan isu terpaksa menunggu terlalu lama iaitu dari pukul 5 petang sehingga hampir pukul 2 pagi bagi mendapatkan keputusan darah.
“Saya selaku Pengarah Kesihatan negeri amat menghargai jika terdapat sebarang isu atau perkara berbangkit, sila cuba dapat maklumat yang tepat sebelum membuat sebarang tuduhan tanpa asas.
“Sekiranya memang berniat untuk membuat aduan, kami alu-alukan perkara itu disalurkan secara terus kepada pihak hospital atau saluran yang disediakan. Kami warga hospital dan kesihatan pun manusia yang punya hati dan perasaan, ungkapan cacian ‘celaka’ pastinya amat-amat mengecewakan kami,” katanya.
Dalam perkongsian hantaran waris terbabit, pengadu menulis: Hospital Baling, perkhidmatan macam celaka, nak tunggu keputusan darah sahaja kena tunggu berjam-jam. Masuk Zon Kuning dari pukul 5 petang sampai pukul 2 pagi belum selesai lagi.
Menurut Dr. Norhizan, hasil siasatan mendapati kes itu didaftarkan pada pukul 6.02 petang dan disaring kali kedua tiga minit kemudian, namun disebabkan kesesakan yang dihadapi Jabatan Kecemasan, pesakit itu diperiksa oleh doktor pada pukul 7 petang.

“Setelah pemeriksaan teliti dijalankan, doktor telah memberi rawatan untuk tekanan darah tinggi. Doktor turut mengarahkan ujian darah dan air kencing dilakukan dan menjadi prosedur rawatan pesakit yang menjalani hemodialisis serta mengalami demam, perlu melakukan ujian air kencing bagi memastikan tiada jangkitan kuman.
“Pengadu (waris) mengadu tunggu lama untuk keputusan ujian darah tetapi isu sebenarnya adalah menunggu keputusan ujian air kencing. Siasatan mendapati arahan kepada pesakit untuk memberi sampel air kencing pada pukul 8 malam, tapi pesakit hanya dapat memberi sampel itu pada pukul 1 pagi,” katanya.
Tambah beliau, keputusan air kencing itu diperoleh kira-kira sembilan minit kemudian, namun pada masa sama, pesakit juga perlu diletakkan di bawah pemerhatian disebabkan tekanan darah tinggi yang harus dipantau.
“Setelah keputusan disemak dan tekanan darah stabil, pesakit dibenarkan pulang pada pukul 3 pagi. Pengadu seharusnya faham kelewatan keputusan ujian makmal bukan semestinya kelewatan pihak hospital kerana ia juga boleh disebabkan pesakit tidak dapat memberi sampel untuk ujian makmal,” katanya.
Di akhir luahannya itu, Dr. Norhizan sempat berpesan kepada anak-anak buah beliau agar terus memberi bantuan dan perkhidmatan terbaik kepada semua (pesakit) serta mendoakan agar Allah SWT sentiasa memberkati dan memudahkan pekerjaan mereka.










