TANAH MERAH 26 Jan. – Seorang warga emas berusia 84 tahun ditemukan maut dengan kesan tetakan di dalam rumahnya di Kampung Chap Rimau, di sini pagi ini.
Dalam kejadian pukul 5 pagi itu, mangsa, Hamid Mat Salleh mengalami kecederaan di belakang kepala dan bahagian pergelangan tangan kiri dipercayai dipukul dengan kuku kambing.
Ketua Polis negeri, Datuk Hasanuddin Hasan berkata, siasatan awal mendapati mangsa mengalami pendarahan yang banyak akibat dipukul dengan senjata tersebut.
Menurutnya, berdasarkan penemuan kuku kambing di lokasi kejadian, suspek dipercayai menggunakan alat tersebut untuk memecah masuk rumah mangsa.

“Kita tidak menolak kemungkinan ada pergelutan berlaku antara mereka sebelum suspek bertindak menetak warga emas berkenaan dengan kuku kambing itu.
“Kita tidak menemukan senjata tajam lain di kawasan kejadian,” katanya kepada pemberita, di sini hari ini.
Hasanuddin memberitahu, mayat mangsa dibawa ke Hospital Tanah Merah untuk bedah siasat sebelum dituntut ahli keluarga..
“Polis masih mengesan suspek dan memohon kerjasama orang ramai bagi menyalurkan maklumat berkaitan kejadian ini,” ujarnya.
Tambah beliau, kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.
Difahamkan, mangsa tinggal seorang diri dan mencari rezeki dengan berniaga barangan runcit secara kecil-kecilan di rumahnya.-UTUSAN ONLINE










