KEPALA BATAS 14 Jan. – Wanita misteri dengan wajahnya yang diwarnakan biru yang berkeliaran di sekitar daerah ini sehingga menimbulkan kegusaran dalam kalangan penduduk ditahan polis kira-kira pukul 10 pagi tadi.
Wanita warga Indonesia itu ditahan di Pajak Song di sini dan pemeriksaan awal mendapati dia tidak mempunyai sebarang dokumen perjalanan yang sah.
Menurut Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara (SPU), Asisten Komisioner Noorzainy Mohd. Noor, polis kini sedang menyiasat motif sebenar wanita itu berkeliaran dalam keadaan pelik sehingga menimbulkan ketakutan penduduk.
“Buat masa ini, suspek akan disiasat di bawah Seksyen 6 (1) (c) Akta Imigresen dan akan direman di Mahkamah Butterworth di sini esok untuk siasatan lanjut,” katanya kepada pemberita, di sini hari ini.
Minggu lalu, penduduk di sekitar daerah ini gempar dengan kelibat seorang wanita yang berada dalam keadaan pelik termasuk mewarnakan mukanya dengan warna biru.
Kelibat wanita yang tidak dikenali itu dikesan berada berhampiran sebuah tadika di Pajok Song sebelum dia meninggalkan kawasan itu menaiki sebuah motosikal.
Kelibat wanita sama yang diberi gelaran `Wanita Biru’ selepas gambarnya tersebar di media sosial itu sekali lagi dikesan di tepi jalan dengan memakai baju dan tudung serta mewarnakan mukanya dengan warna biru. – UTUSAN ONLINE










