GAZA 12 Jan. – Seorang wanita Palestin berusia 43 tahun mati ditembak pada bahagian kepala ketika bantahan di sempadan Gaza, semalam.
Lapor Al Jazeera, Kementerian Kesihatan Gaza mendakwa tentera Israel menembak dan membunuh seorang wanita ketika ribuan penduduk Palestin membuat bantahan di sepanjang pagar sempadan.
Jurucakap kementerian itu, Ashraf al-Qedra berkata, mangsa, Amal al-Taramsi ditembak pada bahagian kepala manakala sekurang-kurangnya 25 lagi penduduk Palestin cedera termasuk dua anggota media dan seorang paramedik.
Amal adalah wanita ketiga maut selain dianggarkan sekurang-kurangnya 241 orang Palestin dibunuh tentera rejim Zionis dalam bantahan yang bermula sejak Mac lalu. -AGENSI










