Waktu operasi baharu UTC bermula 22 Januari ini - Utusan Malaysia

Waktu operasi baharu UTC bermula 22 Januari ini

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA – Kementerian Kewangan akan melaksanakan waktu operasi baharu Pusat Transformasi Bandar (UTC) bermula 22 Januari ini sebagai langkah penjimatan perbelanjaan kerajaan.

Kementerian itu dalam satu kenyataan berkata, waktu operasi baharu itu adalah berdasarkan maklum balas orang ramai yang memohon supaya operasi UTC di beberapa lokasi tertentu dibuka sehingga pukul 10 malam.

“Kementerian telah mengkaji kesesuaian UTC yang boleh melaksanakan waktu operasi tersebut dan menetapkan tujuh buah UTC yang terletak di dalam pusat beli-belah untuk dilewatkan waktu operasinya,” katanya di sini hari ini.

Pertukaran waktu operasi itu membabitkan tiga UTC di Shah Alam, Selangor; Keramat, Kuala Lumpur dan Seremban, Negeri Sembilan yang akan beroperasi dari 1 tengah hari sehingga 10 malam pada Isnin hingga Khamis manakala dari 2.45 petang hingga 8 malam pada Jumaat.

Pada Sabtu dan Ahad, ketiga-tiga UTC tersebut akan beroperasi dari 8 pagi hingga 5 petang.

Bagi empat UTC lagi iaitu Alor Setar, Kedah; Johor Bahru, Johor; Kota Bharu, Kelantan dan Kuala Terengganu, Terengganu, waktu operasi adalah dari 1 tengah hari sehingga 10 malam pada Ahad hingga Khamis dan dari 8 pagi sehingga 5 petang pada Jumaat dan Sabtu.

Sementara itu, bagi 15 UTC lain yang beroperasi di seluruh negara, waktu operasinya adalah dari 8 pagi sehingga 5 petang setiap hari.

Sementara itu, Kementerian Kewangan berkata, UTC kekal beroperasi selama tujuh hari seminggu kecuali cuti umum bagi memudahkan orang awam mendapatkan perkhidmatan kerajaan.

“Waktu operasi UTC akan dikaji dari semasa ke semasa bagi memastikan permintaan rakyat dipenuhi dan pada masa sama perbelanjaan kerajaan dibuat secara efisien tanpa pembaziran waktu serta tenaga,” katanya. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN