LONDON 15 Jan.- Pengendali Huddersfield Town, David Wagner mengambil keputusan meletakkan jawatan ketika pasukannya berada di tangga tercorot Liga Perdana Inggeris (EPL).
The Terriers ketinggalan lapan mata daripada zon selamat ketika berbaki 16 perlawanan selepas seri 0-0 dengan Cardiff City pada Sabtu lalu.
Huddersfield tewas lapan aksi liga di bawah kendalian Wagner, yang memimpin kelab beraksi dalam EPL buat pertama kali dalam sejarah.
Ahli lembaga kelab dan jurulatih dari Jerman itu telah mencapai persetujuan mengenai perkara tersebut.
Pemilik kelab itu, Dean Hoyle berkata beliau tidak akan memecat Wagner sebaliknya Wagner sendiri meminta untuk meninggalkan Stadium John Smith.
“Saya mahu merakamkan ribuan terima kasih kepada Wagner di atas kejayaan yang diraih bersama Huddersfield Town selama tiga tahun setengah.
“Di bawah pimpinan beliau, kami telah mencapai sesuatu yang tidak pernah dijangkau oleh kelab ini beraksi di EPL dan kenangan itu akan kekal bersama kami,” katanya.
Mark Hudson akan mengambil alih mengendali Huddersfield untuk perlawanan seterusnya di laman sendiri apabila menerima kunjungan Manchester City pada Ahad ini. – AGENSI










