Virus Chikungunya di Hatyai, Perlis ambil langkah berjaga-jaga - Utusan Malaysia

Virus Chikungunya di Hatyai, Perlis ambil langkah berjaga-jaga

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR 14 Jan. – Perlis akan melakukan pemantauan ketat di pintu-pintu sempadan negeri ini bagi mengelak penularan virus Chikungunya memasuki ke negara ini selepas jangkitannya dikesan berlaku di Hatyai Thailand, baru-baru ini.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan negeri, Teh Chai Ann berkata, tumpuan pemantauan itu dilaksanakan di dua pintu masuk sempadan Malaysia –Thailand iaitu di Padang Besar dan Wang Kelian, termasuk Kuala Perlis yang menjadi pilihan pengunjung dari Satun, Thailand.


Katanya, pihak berkuasa termasuk Jabatan Kesihatan negeri akan mengawal pintu masuk dan memeriksa mana-mana individu yang dikenal pasti berisiko membawa virus itu bagi menyekat penularannya ke negara ini.


“Kita juga risau sekiranya di kawasan sempadan tidak dikawal dengan baik, penyakit itu boleh merebak ke negeri ini. Jadi saya telah uruskan dengan Jabatan Kesihatan negeri
 untuk ambil tindakan selanjutnya bagi mencegah virus itu masuk.


“Selain itu, kita juga bekerjasama rapat dengan pasukan keselamatan dalam memastikan langkah kawalan dan keselamatan tersebut bergerak seiring.


“Ini kerana, pintu masuk di Padang Besar menjadi pilihan pelancong dari Hat Yai, kerana jaraknya yang lebih dekat berbanding di Bukit Kayu Hitam Kedah,” katanya di sini, hari ini.


Semalam, media tempatan Thailand, Bangkok Post melaporkan, virus Chikungunya iaitu jangkitan yang biasanya berlaku di Afrika telah dikesan berlaku di Hat Yai.


Menurut laporan media tersebut, berpuluh-puluh pesakit telah mendapatkan rawatan di sebuah klinik di bandar berkenaan akibat jangkitan virus berkenaan.- UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×