DUBAI 25 Jan. – Biarpun ditunjukkan jalan keluar oleh Jepun dalam suku akhir Piala Asia semalam, Vietnam mampu pulang dengan bangga, kata ketua jurulatihnya, Park Hang-seo.
Malah, pengendali dari Korea Selatan itu percaya, anak-anak buahnya telah memberi persembahan cemerlang dengan mengambil kira Piala Asia hanya berlangsung kurang sebulan selepas mereka dinobat sebagai juara Piala AFF dengan mengalahkan Malaysia pada final 15 Disember lalu.
Vietnam berjaya memberi tentangan hebat kepada juara empat kali, Jepun dan hanya tewas tipis 0-1 menerusi sepakan penalti pemain pertahanan, Ritsu Doan pada minit ke-57.
Secara keseluruhan, Vietnam melancarkan 12 percubaan ke gawang Samurai Blue berbanding 11 yang dilakukan lawan di Stadium Rashid Al-Maktoum, Dubai.
“Saya sangat bangga dengan pemain kami.
“Malang sekali kejohanan ini berlangsung tidak lama selepas berakhirnya Piala AFF, jadi kami kesuntukan masa untuk melakukan persiapan terbaik,” katanya dalam sidang akhbar.
Ini adalah kali pertama Vietnam melangkah ke suku akhir Piala Asia, kejayaan yang menyusul selepas mereka muncul juara Piala AFF serta naib juara Kejohanan Asia Bawah 23 (B-23), tahun lalu.
Kata Hang-seo, tumpuan Vietnam kini beralih kepada kelayakan Kejohanan Asia B-23 2020 dan kelayakan Piala Dunia 2022.
Sementara itu, Jepun pula akan menentang Iran dalam separuh akhir, Isnin depan. Iran mara selepas membenam China 3-0.
“Vietnam bertahan dengan sangat baik dan mempunyai serangan balas yang pantas, jadi memang sukar buat Jepun mencipta peluang,” kata jurulatih Jepun, Hajime Moriyasu. – AGENSI











