DUBAI 17 Jan.- Vietnam hidupkan peluang untuk mara ke peringkat kalah mati Piala Asia 2019 selepas melakar kemenangan 2-0 ke atas Yaman, awal pagi tadi.
Kemenangan itu menyaksikan mereka menduduki tangga ketiga Kumpulan D di bawah Iran dan Iraq yang berada di tangga pertama dan kedua.
Vietnam berharap mampu mengisi slot empat pasukan terbaik dalam kalangan pasukan yang meraih tempat ketiga kumpulan.
Dalam perlawanan itu, Nguyen Quang Hai meledak gol pertama perlawanan menerusi sepakan percuma dari luar kotak penalti.
Yaman cuba meningkatkan tempo permainan selepas rehat untuk menyamakan kedududukan, namun akhirnya dikecewakan apabila Vietnam diberikan penalti pada minit ke-64.
Sepakan itu mudah disempurnakan ketua pasukan Vietnam, Ngoc Hai untuk mengatasi penjaga gol Yaman, Al-Haresh.
Vietnam kini harus menunggu baki empat perlawanan peringkat kumpulan terakhir yang akan berlangsung hari ini sebelum mengetahui jawapan sama ada layak ke pusingan 16 terbaik atau tidak. – AGENSI










