KUANTAN 13 Jan. – Sultan Pahang, Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah mendoakan supaya calon terbaik dapat dipilih sebagai Yang di-Pertuan Agong Ke-16 dalam mesyuarat Majlis Raja-raja di Istana Negara, Kuala Lumpur pada 24 Januari ini.
Baginda yang baru dilantik sebagai Sultan Pahang keenam bertitah, sebarang keputusan ingin dibuat mestilah pilihan terbaik untuk negara tanpa mengira siapa.
Baginda menyerahkan kepada ketentuan Allah SWT berhubung peluang untuk ditabalkan sebagai Yang di-Pertuan Agong Ke-16.
“Kalau sudahpun tercatat saya ke situ, ke situlah saya. Ada dalam surah Yasin ayat ke-82, kita patut semua tengok ayat itu baru kita faham maksud saya,” titah baginda ketika ditemui pemberita selepas berkenan berangkat menunaikan solat Subuh berjemaah di Masjid Al Imam Ash Shafie di Kotasas di sini hari ini.
Baginda ditanya kemungkinan dilantik sebagai Yang di-Pertuan Agong Ke-16 berikutan pemasyhurannya sebagai Sultan Pahang keenam menggantikan ayahandanya, Sultan Ahmad Shah berkuat kuasa semalam.
Surah Yasin ayat 82 bermaksud, sesungguhnya urusan-Nya apabila Dia menghendaki sesuatu hanyalah berkata kepadanya, jadilah! Maka jadilah ia.
Namun Sultan Abdullah enggan mengulas lanjut perkara berkenaan kerana mahu memfokuskan kepada soal pemasyhuran sebagai Sultan Pahang keenam pada Selasa ini terlebih dahulu.
“Dari situ baru saya fikir apakah harus saya buat selepas itu. Ketika ini saya tidak dapat nyatakan lagi mengenai perkara itu,” titah baginda.
Sementara itu, Sultan Abdullah bertitah, baginda insaf dan perasaannya bercampur sedih serta syukur atas pemasyhuran sebagai Sultan Pahang baharu yang mendapat kepercayaan semua pihak dengan menyifatkannya adalah tanggungjawab besar.
“Saya hendak janji lebih sangat pun ini bukan masanya untuk dinyatakan tetapi saya akan berikan segala usaha dalam apa bidang sekali pun supaya dapat menentukan kesejahteraan rakyat sentiasa dibela,” titah baginda.










