[VIDEO] USIM delegasi pertama lawat NCUT sejak 48 tahun - Utusan Malaysia

[VIDEO] USIM delegasi pertama lawat NCUT sejak 48 tahun

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TAICHUNG, Taiwan 25 Jan. – Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) menjadi universiti pertama Malaysia berkunjung ke Universiti Teknologi Kebangsaan Chin-Yi (NCUT) sejak ia ditubuhkan 48 tahun lalu.

Video oleh MUHAMMAD ARIEF CHE SOH

Wakil mahasiswa Malaysia di NCUT, Anwar Ibrahim, 29, berkata, USIM merupakan satu-satunya universiti dari Malaysia yang melakukan lawatan berbentuk kolaborasi intelektual bersama NCUT.

“NCUT memang sudah lama ditubuhkan iaitu pada tahun 1971 dan menjadi antara lima universiti awam terkemuka Taiwan. Namun, sambutan pelajar Malaysia terhadap NCUT amat rendah sama ada berbentuk pengajian mahupun lawatan.

“Hari ini adalah sejarah bagi NCUT sendiri kerana menerima kunjungan ilmiah dari USIM. Memang USIM adalah universiti pertama Malaysia yang memilih untuk melawat kampus kami ini,” katanya dalam sesi ramah mesra bersama 26 pelajar USIM yang menyertai lawatan tersebut, di sini hari ini.

Kunjungan delegasi USIM yang mewakili Kelab Debat universiti tersebut adalah bagi menjalankan lawatan ilmiah Global Islamic Student Outreach (GISO) yang menjadi aktiviti dan takwim tahunan mahasiswa USIM.

Semasa lawatan tersebut juga, mahasiswa USIM diberi pendedahan tentang latar belakang NCUT serta kelayakan dan peluang bagi menyambung pengajian di universiti tersebut.

Selain itu, NCUT turut mempamerkan kelengkapan teknologi motor berkuasa tinggi yang berasaskan teknologi solar setanding dengan kecanggihan dalam dunia Formula Satu (F1).

Pensyarah Jabatan Kejuruteraan Elektrik, NCUT
DELEGASI USIM mendengar taklimat daripada Pensyarah Jabatan Kejuruteraan Elektrik, Muti Lin sewaktu tiba di NCUT, hari ini. – UTUSAN ONLINE

Sementara itu, Anwar yang juga merupakan anak kelahiran Kedah berkata, masyarakat Malaysia tidak perlu risau dengan pelbagai masalah sekiranya ingin menyambung pengajian di sana.

“Di sini saya hanya berdua sahaja orang Melayu. Dan semuanya tidak ada masalah sama ada untuk menyesuaikan diri, mencari makanan halal, solat Jumaat dan lain-lain.

“Kami sangat menggalakkan rakyat Malaysia untuk sambung belajar di sini supaya kami bukanlah generasi pertama dan terakhir menimba ilmu di universiti ini,” tambahnya.

Dalam pada itu, mahasiswa USIM turut menyumbang perkongsian dua hala berkaitan kepentingan konsep halal, asas penggunaan bahasa arab serta peluang pendidikan yang ada di Malaysia.

Siswa dari Kelab Debat USIM tersebut berada di Taiwan sejak 20 hingga 27 Januari ini bagi meneruskan pelbagai pengisian ilmiah seperti santunan nurani, silang budaya, pertukaran ilmu, diskusi kepimpinan serta mengunjungi beberapa lokasi menarik dan bersejarah. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×